Boris Becker lelong trofi untuk bayar hutang


Bekas juara tenis Wimbledon, Boris Becker diisytiharkan muflis pada 2017. – Gambar EPA, 24 Jun, 2019.

TROFI dan cenderamata peribadi milik bintang tenis Jerman, Boris Becker akan dilelong secara dalam talian bermula Isnin oleh firma Britain Wyles Hardy untuk melangsaikan sebahagian hutang juara yang diisytiharkan muflis itu.

Pemenang termuda dalam sejarah Wimbledon, yang memperoleh tiga gelaran ketika berumur 17 tahun, melelong 82 item termasuk pingat, piala, jam tangan dan gambar.

Jualan itu akan berakhir pada 11 Julai, kata Wyles Hardy di laman sesawangnya.

Beberapa trofi yang dimenangi termasuk replika Challenge Cup dianugerahkan kepada Becker berikutan satu kemenangan Wimbledon dan replika bersaiz tiga suku Piala Renshaw yang diperoleh selepas muncul juara perseorangan Grand Slam termuda.

Pingat finalis Wimbledon dari 1990, ketika ditewaskan pemain Sweden Stefan Edberg, dan replika piala perak AS Terbuka yang dibuat oleh tukang emas Tiffany bagi kemenangan pada 1989 selepas menewaskan Ivan Lendl, juga termasuk untuk dijual.

Juara berumur 51 tahun itu diisytiharkan muflis pada 2017.

Pada Jun 2018, beliau mendakwa mempunyai status diplomatik dan ada imuniti, ia menghentikan penjualan trofi dan cenderahati peribadi pada minit terakhir.

Bekas juara dunia itu mendakwa beliau dilantik oleh Presiden Republik Afrika Tengah sebagai “atase” sukan, kebudayaan dan kemanusiaan kepada Kesatuan Eropah.

Tetapi Kementerian Luar Negara Afrika Tengah berkata pasport digunakan Becker adalah palsu, daripada sekumpulan “pasport kosong yang dicuri pada 2014”.

Becker akhirnya mengakhiri episod luar biasa ini pada Disember dengan mengenepikan haknya untuk kekebalan di sebuah mahkamah London yang mengkhusus dalam kes insolvensi, menyebabkan syarikat lelongan meletakkan trofi itu kembali ke pasaran.

Percubaan pertama “menarik tawaran sangat besar,” kata Mark Ford, salah seorang daripada tiga pemegang amanah hartanah Becker, dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, jualan tidak mencukupi untuk melunaskan hutang bernilai jutaan pound.

Becker berdepan masalah undang-undang dengan mahkamah Sepanyol behrubung hutang yang belum dibayar bagi kerja yang dijalankan di vilanya di Mallorca.

Pemenang Grand Slam sebanyak enam kali, yang digelar “Boom Boom” Becker kerana permainannya yang hebat, memenangi 49 gelaran dan lebih 20 juta euro hadiah dalam bentuk wang semasa kerjayanya.

Beliau kini memberi tumpuan kepada aktiviti tenisnya, terutama mengulas ketika cuba menggunakan kemasyhuran dimiliki untuk melangsaikan hutangnya. – AFP, 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen