NAIB canselor sebuah universiti tempatan menyelar aktivis pelajar yang membuang masa dengan menyertai himpunan bantahan tetapi mengabaikan pelajaran, berkata peranan mereka sebagai pelajar ialah fokus untuk mendapatkan keputusan terbaik.
“Saya tak kata anda tidak boleh mengubah dunia. Apa yang saya nak kata ialah anda tidak boleh buat sekarang, ketika masih di universiti,” kata naib canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Mohammad Shatar Sabran.
“Jika CGPA anda cukup tinggi, anda akan lulus dan satu hari nanti, dapat memegang jawatan dengan kuasa untuk mengubah dunia anda. Tetapi bukan ketika anda masih belajar.”
Shatar juga menyentuh mengenai peningkatan jumlah pelajar Melayu yang tidak cemerlang di universiti, tetapi aktif menyertai protes.
“Anda patut fokus untuk dapat CGPA 3.7 dan membina karakter yang baik.
“Zaman sekarang, budak Melayu dapat CGPA 1.9 dan kemudian pergi protes depan Parlimen untuk tuntut kerajaan mansuhkan PTPTN,” katanya merujuk kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara yang memberikan pinjaman kepada pelajar.
CGPA ialah markah purata yang diperoleh dalam semua subjek dan peperiksaan yang diambil di universiti. CGPA 4.0 yang paling cemerlang.
Shatar menjadi salah seorang ahli panel dalam sesi townhall Transformasi Nasional (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri Najib Razak di Tanjung Malim, semalam.
Pinjaman PTPTN menjadi isu hangat dan kumpulan pelajar sebelum ini pernah mengadakan demonstrasi mendesak supaya hutang pendidikan itu dihapuskan.
Aktivisme dalam kalangan pelajar juga berkembang di universiti awam selepas kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menghalang mereka terbabit dalam politik sebelum ini.
Sejak itu, kumpulan pelajar mengadakan protes berhubung pelbagai isu termasuk pendidikan dan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 28 September, 2017.
Komen