7 mayat pendaki Nanda Devi berjaya dibawa keluar


Kumpulan lapan orang pendaki hilang pada akhir Mei selepas mendaki Nanda Devi Timur yang merupakan gunung kedua tertinggi di India. – Gambar Wikipedia, 24 Jun, 2019.

MAYAT tujuh pendaki yang maut di gunung kedua tertinggi di India berjaya dibawa keluar semalam, selepas usaha mencari berterusan selama hampir sebulan oleh pakar gunung di kawasan Himalaya.

Kumpulan lapan orang pendaki itu hilang pada akhir Mei termasuk empat warga Britain, dua warga Amerika, seorang India dan seorang Australia.

Mereka ingin mendaki puncak yang “belum pernah didaki” di negeri utara India di Uttarakhand.

Sekumpulan pendaki daripada pasukan Polis Sempadan Indo -Tibet (ITBP) mendapati tujuh mayat berhampiran puncak tanpa nama di Nanda Devi Timur.

Jurucakap ITBP, Vivek Kumar Pandey memberitahu AFP mereka akan meneruskan pencarian seorang lagi mangsa.

Pasukan penyelamat membawa mangsa ke lokasi berdekatan dan turut menemui beberapa kelengkapan mendaki.

Kesemua mayat itu masih belum dikenal pasti.

Lapan pendaki itu adalah sebahagian daripada 12 pendaki tetapi empat warga Britain berjaya diselamatkan selepas mereka terpisah.

Kumpulan utama, yang diketuai oleh pendaki berpengalaman warga Britain, Martin Moran, hanya mendapat kebenaran untuk mendaki puncak timur Nanda Devi.

Tetapi posting Facebook oleh firma Moran pada 22 Mei berkata mereka merancang untuk mencuba “puncak tidak pernah didaki” sekitar 6,500 meter tinggi.

Kali terakhir para pendaki berkomunikasi pada 26 Mei, sehari sebelum salji tebal turun dan kejadian longsoran besar di pergunungan itu.

Pihak berkuasa India memulakan pencarian tetapi operasi terjejas disebabkan cuaca buruk dan rupa bumi yang sukar.

Pandey berkata, ia mengambil masa lima jam untuk membawa keluar mayat itu.

“Keadaan kawasan amat sukar disebabkan cerun yang curam, salji terkumpul dan keadaan angin,” katanya.

Pencarian melalui jalan udara berulang kali terhalang angin bergelora dan risiko longsoran.

Pada 3 Jun, sebuah helikopter melihat lima mayat dan peralatan mendaki dalam salji, pada ketinggian kira-kira 5,000m tetapi percubaan menurunkan tentera untuk mengambil mereka dibatalkan kerana risiko.

Selain Moran, pendaki lain dalam senarai dinamakan sebagai John McLaren, Rupert Whewell dan pensyarah University of York Richard Payne dari Britain, warga Amerika Syarikat Anthony Sudekum dan Ronald Beimel, Ruth McCance Australia dan pemandu arah warga India Chetan Pandey. – AFP, 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen