Parti Erdogan tewas pilihan raya datuk bandar Istanbul


Ekrem Imamoglu memenangi pilihan raya selepas meraih lebih 775,000 undi dan 54% jumlah keseluruhan. – Gambar EPA, 24 Jun, 2019.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menerima tamparan hebat pada Ahad apabila ditewaskan calon pembangkang dalam pilihan raya semula datuk bandar yang menjadi kontroversi.

Ekrem Imamoglu kali pertama menang pilihan raya datuk bandar pada Mac dengan margin tipis sebanyak 13,000 undi mengalahkan calon pilihan Erdogan, Binali Yildirim, yang membantah keputusan dan pilihan raya baru diarahkan semula.

Setelah kemenangan dilucutkan kerana dakwaan penipuan yang dipertikaikan, Imamoglu berikrar memperjuangan demokrasi yang disifatkannya dicabul pihak tertentu.

Dengan 99% undi yang dikira pada malam Ahad, Imamoglu menang lebih banyak undi sebanyak 775,000 undi - 54%, dengan Yildirim 45%, menurut agensi berita negeri Anadolu.

“Ia bukan satu kumpulan atau parti, tetapi seluruh Istanbul dan Turki yang memenangi pilihan raya ini,” kata Imamoglu dalam ucapan kemenangannya kepada penyokongnya di bandar yang mempunyai penduduk sebanyak 15 juta orang.

“Tuan presiden, saya bersedia bekerja dengan anda secara harmoni. Saya sampaikan permintaan saya di sini untuk bertemu dengan anda secepat mungkin,” katanya.

Pengkritik menuduh Erdogan enggan menyerahkan kawalan terhadap Istanbul, kuasa ekonomi Turki dan sumber perlindungan penting bagi konservatif Islam sejak beliau memenang pilihan raya datuk bandar itu sendiri suku abad yang lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Turki itu mengakui kekalahannya kali ini, menulis di Twitter: “Saya mengucapkan tahniah kepada Ekrem Imamoglu yang memenangi pilihan raya berdasarkan keputusan awal.”

Ketika bandar Istanbul meraikan kemenangan Imamoglu, para pengulas menyatakan ini bukan sekadar undi perbandaran - Erdogan sendiri pernah berkata: “Siapa yang menang Istanbul, memenangi Turki.”

“Ini adalah kekalahan besar bagi Yildirim tetapi juga Erdogan. Tindakan berisiko (mengarah pilihan raya semula) memakan diri,” kata Berk Esen, penolong profesor hubungan antarabangsa di Universiti Bilkent di Ankara, kepada AFP.

Bagi banyak konservatif, Erdogan kekal sebagai pahlawan yang membawa kemakmuran dan mempertahankan kepentingan negara sejak mengambil alih pada 2003. – AFP, 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen