Liga Arab janji salur AS$100 juta sebulan bantu Palestin


Palestin memulaukan persidangan dua hari di Bahrain itu dan mendakwa Trump cuba 'membeli' rakyat Palestin dan menghalang mereka daripada menubuhkan negara bebas. – Gambar EPA, 23 Jun, 2019.

LIGA Arab hari ini mengulangi ikrarnya untuk menyalurkan dana AS$100 juta sebulan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), sehari selepas Washington mendedahkan pelan damai di Asia Barat.

Menter-menteri kewangan negara Arab mengadakan pertemuan di Kaherah untuk mengulangi janji yang dibuat pada April untuk membantu kerajaan Palestin yang berdepan masalah kewangan.

Mereka turut menegaskan bantuan itu merupakan sokongan penuh bagi membantu ekonomi, politik dan kewangan Palestin.

Semalam, Amerika Syarikat berkata pelan damai Asia Barat akan dibentangkan minggu depan di Bahrain untuk meningkatkan lebih AS$50 bilion kepada Palestin dan mewujudkan sejuta peluang pekerjaan kepada rakyat negara itu dalam tempoh 10 tahun.

Pelan yang dikenali sebagai “Keamanan kepada Kemewahan” itu diketuai oleh menantu lelaki Presiden AS Donald Trump, Jared Kushner yang juga merupakan penasihat kepadanya.

Palestin memulaukan persidangan dua hari di Bahrain itu dan mendakwa Trump cuba ‘membeli’ rakyat Palestin dan menghalang mereka daripada menubuhkan negara bebas. – AFP,  23 Jun, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen