Belia sokong TN50 tapi mahu masalah diselesaikan sekarang


Sheridan Mahavera

Mereka yang hadir pada sesi TN50 di Tanjung Malim, Perak semalam berkata program itu relevan walaupun ia rancangan untuk 30 tahun akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 September, 2017.

BELIA yang menyertai Transformasi Nasional 2050 (TN50) mempertahankan inisiatif itu daripada pengkritik yang mengatakan program itu tidak masuk akal, tetapi golongan muda hari ini mendesak supaya kerajaan menangani masalah semasa.

Mereka yang hadir pada sesi TN50 di Tanjung Malim, Perak semalam berkata program itu relevan walaupun ia rancangan untuk 30 tahun akan datang.

Mereka juga berpendapat ia melengkapkan inisiatif Wawasan 2020, dan ia bukannya pengganti program itu seperti didakwa oleh pengkritik TN50.

“Ia platform yang bagus untuk belia menyuarakan aspirasi dan keinginan apa yang mereka mahu dalam negara ini,” kata penduduk Tanjung Malim, Azahari Abdullah Sani, salah seorang daripada 200 hadirin di forum townhall itu.

“Tetapi perlu ada penekanan terhadap menyelesaikan isu semasa, seperti perumahan, kos sara hidup yang tinggi dan gaji rendah,” kata pendidik berusia 30 tahun itu.

Sebagai contoh, rumah paling murah di Tanjung Malim, kira-kira 50km dari Kuala Lumpur, kosnya RM200,000 tetapi purata gaji bagi graduan tempatan di situ hanya RM1,500 sebulan.

“Jadi, bagaimana kita hendak mencapai matlamat dalam TN50 jika masalah pada hari ini tidak diselesaikan?”

TN50 diilhamkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dan dipuji sebagai pendekatan akar umbi untuk membentangkan dasar yang munasabah untuk kerajaan sehingga 2050.

Najib dan menteri kanan daripada gabungan Barisan Nasional mengambil bahagian dalam sesi dialog dan townhall dengan kumpulan fokus, seperti belia, wanita, masyarakat perniagaan dan artis di seluruh Malaysia.

Sesi di Tanjung Malim menampilkan naib canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mohamad Shatar Sabran, finalis program angkasawan negara Dr Nawar Ariffin dan Presiden Persatuan Pekerja Muda Dazma Shah Daud.

Bagaimanapun, pengkritik berkata keseluruhan idea program itu hanya aksi publisiti untuk menutup hakikat yang kerajaan tidak akan dapat mencapai sasaran Wawasan 2020.

Pengkritik juga mendakwa Najib mengabaikan Wawasan 2020 kerana ia dimulakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang kini mengetuai pembangkang untuk menjatuhkan BN.

Dr Mahathir berkata TN50 sia-sia kerana ia terlalu jauh pada masa depan dan golongan belia dalam generasi hari ini tidak akan ada untuk menyaksikan keputusannya.

Pelajar antara yang menyertai dialog TN50 yang menjadi platform untuk golongan belia menyuarakan pendapat mereka di Tanjung Malim, Perak semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 September, 2017.

Pelajar UPSI Razzi Basrah tidak bersetuju dengan idea mengatakan TN50 bertujuan untuk menggantikan Wawasan 2020, berkata pelan itu selaras.

“Kita sedang berada di penghujung Wawasan 2020 dalam tempoh tiga tahun, jadi TN50 untuk 30 tahun akan datang.

“Kita perlu ingat yang Wawasan 2020 juga dibuat ketika Dasar Ekonomi Baru masih dilaksanakan pada penghujung 1980-an,” katanya.

Peguam Jani Izwandy Che Jan berkata beliau tidak merasakan yang tempoh masa TN50 tidak dapat dicapai.

“Ia tidak bermakna kita perlu tunggu sehingga 2050 untuk capai matlamat itu. Proses merancang bermula sekarang dan kerajaan boleh ambil maklum balas kita untuk digabungkan ke dalam dasar sebenar,” katanya.

Mohamad Amin Osman, 39, berkata ramai orang fikir TN50 mengarut tetapi beliau rasa ia relevan.

“Saya setuju yang dasar sebelum dilaksanakan perlu mendapatkan pandangan rakyat,” katanya.

Beliau yang bekerja sendiri dan menetap di Tanjung Malim juga tidak suka bila ada sesetengah peserta menggunakan sesi dialog untuk membangkitkan masalah semasa.

“Ini bukan platform untuk itu. Malah, bila saya dengar rungutan tentang kos sara hidup, saya jadi marah. Saya tanya anda, bila dalam sejarah kita yang barang pernah murah?

“Saya tidak pernah dengar bapa saya balik rumah dan kata ‘barang murah hari ini’,” katanya.

Amin berkata dia tidak sabar menunggu apa yang akan dibentangkan TN50, yang sepatutnya menjadi komplikasi idea daripada orang awam dan strategi bagaimana untuk mencapainya.

“Tidak ada sesiapa boleh ramalkan 20 tahun lalu apa akan jadi pada masa ini. Dan kita tidak boleh jangka bagaimana masa depan nanti. Sebab itu kita perlukan TN50.” – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen