Saman SPRM untuk mufliskan Umno, kata ahli parti


SM Amin

SAMAN difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucutkan hak harta Umno adalah usaha untuk memufliskan parti tersebut, kata ahlinya.

Selain itu ahli parti juga berpendapat tindakan tersebut bertujuan untuk mengalihkan pandangan rakyat ke atas isu tuduhan seks dihadapi seorang menteri Kabinet.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub beliau sudah menjangkakan kerajaan akan bertindak sedemikian rupa kerana terdapat usaha untuk mengharamkan parti berkenaan.

“Sekarang ini tindakan SPRM itu seolah-olah mahu mengenakan tindakan muflis terhadap Umno. 

“Bila dia mufliskan Umno, maka segala aset Umno akan diletakkan di bawah Jabatan Insolvensi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau mengulas mengenai saman permohonan lucut harta difailkan SPRM terhadap 41 responden di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Beliau mengesyaki bahawa usaha itu didalangi Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menurutnya cuba mempengaruhi ahli Parlimen Umno untuk berpaling tadah sebelum ini.

“Tetapi oleh kerana cara yang dibuat sebelum ini memancing ahli Parlimen Umno tidak berjaya, mereka ambil tindakan undang-undang supaya Umno boleh diambil alih,” katanya.

Sebanyak 41 responden yang menerima dana 1MDB disiasat SPRM di bawah AMLA. – Gambar AFP, 24 Jun, 2019.

Tambahnya, tindakan itu tidak lagi perlu kerana Dr Mahathir berjaya menggulingkan bekas perdana menteri Najib Razak dan mengambil alih Putrajaya. 

“Kalau marahkan Najib Razak, Najib sudah jatuh. Apa lagi dia hendak dengan Umno ini? Harta-harta Umno ini hanya boleh dipindah milik dengan persetujuan dua pertiga ahli parti.

Permohonan yang difailkan SPRM pada Rabu lalu itu bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank Najib.

Umno negeri Selangor, Pahang, Kedah, Johor, Sabah dan Kelantan didakwa antara penerima wang tersebut.

Namun kalangan pemimpin Umno negeri juga masih tidak pasti dengan duduk perkara sebenar berhubung dana tersebut.

Oleh tidak dapat dipastikan sekiranya saman mengejut itu akan menjejaskan parti, kata setiausaha Umno Selangor, Johan Abd Aziz.

“Ianya satu kejutan. Apa jua tindakan susulan selepas ini, kita akan merujuk kepada Umno Pusat sebab kita tidak tahu mana sumber dana tersebut,” katanya.

Ahli Umno mengesyaki bahawa usaha itu didalangi Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menurutnya cuba mempengaruhi ahli Parlimen Umno untuk berpaling tadah sebelum ini.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2019.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Sham Mat Sahat berpendapat saman itu hanyalah untuk menutup tuduhan seks seks dikaitkan dengan seorang menteri dan kelemahan pentadbiran kerajaan.

Beliau juga berpendapat saman berkaitan dana 1MDB ini tidak akan memberi kesan kepada rakyat yang menurutnya sudah muak dengan isu berkenaan.

“Yang terkesan sekarang ini kehidupan harian mereka, harga komoditi tidak meningkat, mereka hidup dalam keresahan. Ini yang rakyat harap kerajaan selesaikan, bukannya sibuk dengan isu 1MDB,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman pula berpendapat, saman itu menunjukkan SPRM jalankan siasatan secara terpilih dah hanya mahu melumpuhkan parti berkenaan.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan jujur dalam mengambil tindakan, SPRM wajar menyiasat Mustapa Mohamed, individu yang turut didakwa menerima dana dari 1MDB.

Dakwanya, ia berlaku ketika Mustapa memimopin Umno Kelantan sebelum bertindak keluar parti menyertai Bersatu.

Permohonan yang difailkan SPRM pada Rabu lalu itu bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank Najib. – Gambar EPA, 24 Jun, 2019.

“Kita tidak ada masalah jika SPRM hendak siasat cumanya kalau mereka hendak siasat jangan berat sebelah. 

“Kalau Umno Kelantan ini, boleh siasat Tok Pa (Mustapa) kerana dia menjadi pengerusi perhubungan Umno Kelantan sebelum ini.

“SPRM tidak boleh hanya bertindak berdasarkan apa yang kerajaan mahu. Janganlah hanya siasat pembangkang tetapi dipihak kerajaan dibebaskan.

“Yang sudah lompat masuk kerajaan pun dibiarkan. Ambil tindakan juga kes Lim Guan Eng,” katanya.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menegaskan bahawa Umno akan menjawab saman itu di mahkamah bagi menunjukkan parti itu berhak ke atas dana yang dibekukan oleh SPRM.

Menurut beliau, Umno juga telah menulis surat kepada SPRM untuk memberikan alasan untuk memulangkan wang itu. – 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen