LINTAH menjadi punca berlakunya gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan berpuluh-puluh perkhidmatan kereta api tergendala dan 12,000 penumpang terkandas di Jepun.
Syarikat Kyushu Railway Co atau dikenali sebagai JR Kyushu terpaksa membatalkan kira-kira 26 perjalanan kereta api dan menunda perkhidmatan lain.
Seminggu selepas gangguan bekalan elektrik, JR Kyushu berkata mereka telah menemui punca kejadian iaitu lintah yang membuat laluan ke peranti kuasa elektrik yang dipasang berhampiran landasan keretapi.
“Kami menjejaki peranti yang bertanggungjawab menyebabkan bekalan elektrik terputus.
“Awalnya kami menyangka pepijat tetapi rupanya lintah yang telah mati,” kata seorang jurucakap syarikat kepada AFP.
Media tempatan mengatakan bahawa lintah itu telah mati terbakar disebabkan litar pintas.
Pegawai itu berkata, kejadian seumpama itu jarang-jarang berlaku.
“Kami sering berdepan masalah rusa berlanggar dengan kereta api tetapi belum ada kes melibatkan lintah,” katanya.
JR Kyushu berkata, pihaknya telah memeriksa alat yang mempunyai persamaan di kawasan itu dan mengesahkan tidak ada gangguan daripada lintah lain. – AFP, 23 Jun, 2019.
Komen