AMERIKA Syarikat (AS) melancarkan serangan siber terhadap sistem kawalan misil dan rangkaian perisikan Iran selepas Teheran menembak jatuh dron pengintipan AS.
Media AS, The Washington Post melaporkan Presiden Donald Trump secara rahsia membenarkan Pusat Perintah Siber AS melancarkan serangan balas itu ke atas Iran.
Serangan itu dilancarkan selepas Trump berikrar untuk mengenakan sekatan baharu terhadap republik Islam itu.
Menurut The Washington Post, serangan siber itu melumpuhkan sistem komputer yang digunakan untuk melancarkan roket dan peluru berpandu.
Sementara itu Yahoo News berkata sekumpulan perisik yang bertanggungjawab menyerang kapal di Teluk turut menjadi sasaran.
Teheran bagaimanapun masih belum memberi maklum balas tentang laporan serangan siber itu.
Agensi berita Iran Fars berkata kesan serangan itu belum dapat dipastikan sama ada berkesan atau tidak.
Fars berkata laporan media AS itu satu pembohongan untuk memulihkan reputasi AS yang terjejas akibat insiden dron milik negara itu ditembak jatuh.
Pada Jumaat, Trump membatalkan serangan balas tentera kerana merasakan tindakan sedemikian tidak sesuai, dan Teheran memberi amaran bahawa sebarang serangan balas akan mencetuskan pergolakan yang lebih besar di Asia Barat.
Insiden Iran menembak jatuh dron AS berlaku selepas beberapa siri serangan terhadap kapal tangki minyak di Teluk dan Washington menyalahkan Iran.
Teheran bagaimanapun nafi terlibat dalam serangan itu. – AFP, 23 Jun, 2019.
Komen