PAS masih akan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada situasi politik semasa walaupun parti itu mahu menumbangkan pakatan itu pada pilihan raya akan datang, kata presiden Abdul Hadi Awang.
“Pendirian kita macam usul dalam muktamar (iaitu) sokong perubahan. (Kita) sertai kerajaan ikut kewajaran.
“Kita boleh sokong kerajaan tanpa masuk kerajaan, (mungkin) kerajaan campuran boleh (ditubuhkan). Bergantung sitiasi politik berikutnya,” kata Abdul Hadi kepada pemberita selepas Muktamar Tahunan PAS ke-65 hari ini.
Abdul Hadi mengulas mengenai perbezaan pandangan antara Dewan Ulama dan Dewam Pemuda yang disuarakan pada muktamar tersebut.
Dewan Ulama berkata “wajib” untuk menjatuhkan kerajaan PH walaupun ia perlukan kerjasama dengan musuh lama.
Namun pandangan Dewan Ulama itu berbeza dengan Dewan Pemuda yang menyuarakan kesediaan untuk menyokong kerajaan yang diketuai oleh perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Muktamar parti meluluskan resolusi untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam pilihan raya umum ke-15 bagi menentang PH.
Parti itu membentuk jawatankuasa kerja untuk menetapkan syarat dan terma bagi kerjasama itu dan akan diumumkan kemudian, kata Abdul Hadi.
Buat masa ini, Ahli Parlimen Marang itu berkata, kedua-dua parti akan meneruskan kerjasama politik (ta’awun) sebelum membentuk kerjasama rasmi
(tahaluf siyasi).
“Sehingga ini (PAS dan Umno) berta’awun dahulu, tahaluf (siyasi) ada syarat, bila nak tubuh kerajaan.
“Kita akan lakukan peringkat demi peringkat. Yang penting capai persefahaman dahulu sebelum tandatangan,” katanya.
Abdul Hadi berkata majoriti ahli parti akan menyokong pakatan PAS dan Umno walaupun ada yang ragu-ragu untuk bekerjasama dengan parti yang pernah mengkhianati mereka.
Ahli PAS Kelantan masih menyalahkan Umno kerana merampas kerajaan negeri yang diperintah PAS pada 1977 walaupun ketika itu PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional.
“Suara yang tidak bersetuju adalah terpencil dalam PAS. Mereka yang sudah lama dalam PAS boleh terima (kerjasama Umno-PAS),” katanya. – 23 Jun, 2019.
Komen