Nyawa Pakatan tak panjang, ramal timbalan presiden PAS


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Ahli dan jentera PAS perlu siap sedia hadapi PRU15 lebih awal, kata Tuan Ibrahim Tuan Man. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Jun, 2019.

PENTADBIRAN Pakatan Harapan (PH) tidak akan dapat bertahan lama kerana pelbagai isu melanda gabungan kerajaan itu pada waktu ini, ramal Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Oleh itu, ahli dan jentera PAS perlu bersiap sedia dengan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 lebih awal, katanya.

“Dengan kemelut politik dalaman PH dengan kemelut dalaman mereka, dengan isu rakyat tidak selesai dan kemelut kewangan negara, saya, kita melihat nyawa PH tak panjang.

“Bersiaplah semua, jentera parti, hadapi kemungkinan pilihan raya lebih awal dari kita jangka,” kata Tuan Ibrahim.

Dalam ucapan penggulungan dalam Muktamar PAS ke-65 hari ini, beliau juga menggariskan empat garis panduan dasar yang perlu dipatuhi parti dalam menjalin hubungan kerjasama dengan Umno.

Antara yang ditekankan adalah ahli dan pimpinan PAS dilarang sama sekali campur tangan dalam urusan dalaman parti lain.

“Kita adakan kerjasama dengan saling hormat menghormati dasar parti, pimpinan dan ahli tidak dibenarkan terlibat dalam program dalaman parti lain. 

“Ada yang jadi perasmi mesyuarat parti lain, kita tidak benarkan. Ini urusan dalaman parti, dan kita juga tidak benarkan ahli jadi petugas khas parti lain.

“Ini demi mengelakkan berlakunya salah faham di kalangan ahli. Nanti apabila ditular akan jadi masalah pada parti, urusan dalaman parti adalah hak parti masing-masing,” kata Tuan Ibrahim.

Selain itu, agihan kerusi dan pertandingan dalam pilihan raya juga hanya akan diputuskan jawatankuasa induk.

“Segala polisi dasar kerjasama antara PAS dan Umno hanya diputuskan jawatankuasa induk setelah perkenan PAS pusat dan Majlis Syura Ulama, bukan negeri, kawasan, cawangan, ia termasuk agihan kerusi, calon dan perkara berbangkit,” katanya. 

Ahli dan pimpinan PAS bagaimanapun katanya dibenarkan untuk menganjurkan program bersama Umno.

“PAS negeri, kawasan, dan cawangan dibenarkan adakan program bersama demi pengukuhan kesatuan ummah. Fokusnya penyatuan ummah dan perkukuh Islam,” kata Tuan Ibrahim. 

Selain itu, garis panduan berkenaan juga katanya membenarkan pimpinan dan ahli PAS hadir membuat pengisian dalam program seperti ceramah dan forum. – 23 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen