PEMANTAU persaingan Australia dijangka mengumumkan peraturan ketat kepada Facebook, Google dan gergasi teknologi lain yang boleh memberi kesan global tentang sejauh mana mereka boleh meraih untung dan memilih kandungan untuk penggunanya.
Cadangan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia sekiranya disahkan, akan menjadi yang terketat untuk mengawal pengaruh gergasi digital ketika wujud kebimbangan besar tentang kepercayaan, privasi dan peranan mereka dalam penyebaran salah maklumat dan kandungan kebencian.
ACCC akan mengumumkan laporan itu pada 30 Jun selepas 18 bulan melakukan siasatan ke atas kuasa dan pengaruh platform digital.
Ia dijangka meliputi cadangan kawalan ketat kaedah pengendalian data peribadi syarikat teknologi dan pengguna algoritma “kabur” mereka untuk menayangkan iklan, hasil carian dan kandungan.
Laporan awal setebal 328 muka surat sudah diumumkan Disember lalu, ACCC membangkitkan amaran tentang kuasa pasaran besar dipegang gergasi teknologi seperti Google dan Facebook dan kekurangan ketelusan dalam operasi mereka.
“Kita berada dalam titik kritikal untuk mempertimbangkan kesan platform digital kepada masyarakat,” kata laporan itu yang merupakan inisiatif kerajaan konservatif Australia.
Laporan memberi tumpuan kepada kesan besar Google dan Facebook terhadap industri berita Australia, dalam situasi penerbitan akhbar dan kewartawanan dalam talian jatuh sehingga 20% sejak 2014 sedangkan pendapatan iklan digital diraih dua gergasi itu mencecah jumlah terlalu tinggi.
Cadangan awal dikeluarkan bersama laporan itu, banyak diantaranya dijangka turut dimasukkan dalam laporan akhir, termasuk peraturan lebih ketat menguruskan data peribadi, serupa dengan Peraturan Perlindungan Data Umum Eropah (GDPR) yang diperkenalkan tahun lepas.
Ia juga menggesa hukuman lebih berat berkaitan privasi dan kawalan lebih ketat untuk penggabungan dan pemilikan oleh gergasi digital itu.
Salah satu cadangan paling radikal adalah pembentukan Lembaga Semakan Algoritma untuk memantau formula rumit penyampaian iklan, rangking berita, kandungan dan perkhidmatan rujukan kepada media.
ACCC berkata peraturan itu diperlukan untuk memastikan pemain utama digital tidak memihak kepada kepentingan perniagaan mereka semata-mata, menerusi kuasa dan kehadiran mereka merentas pelbagai platform.
Syarikat teknologi memberi amaran yang pelaksanaan kebanyakan cadangan ACCC boleh menyebabkan syarikat utama tidak berniaga di Australia.
“Kita perlukan peraturan jelas untuk internet yang melindungi privasi, keselamatan dan manfaat ekonomi dan sosial teknologi dan pada masa sama melindungi persaingan dan inovasi,” kata Sunita Bose, ketua kumpulan pelobi DIGI yang mewakili Google, Facebook, Twitter dan syarikat lain untuk berunding dengan kerajaan Australia. – AFP, 23 Jun, 2019.
Komen