KETIKA ura-ura ketidakpuasan hati akar umbi tentang kerjasama dengan Umno semakin kencang, seorang ulama parti hari ini berkata “wajib” untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan walaupun ia perlukan kerjasama dengan musuh lama.
Nik Zawawi Salleh yang menerajui Dewan Ulama PAS berkata, menumbangkan PH adalah matlamat utama kerjasama parti itu dengan Umno.
“Politik kerjasama di Malaysia tiada parti yang boleh menang kuasa hanya dengan dia sorang (sendirian). Dia mesti kerjasama dengan parti lain.
“Wajib untuk kita jatuhkan kerajaan hari ini, kita kena gerak ke hadapan jangan melihat belakang,” katanya.
Muktamar semalam menerima resolusi dibentangkan Dewan Ulama untuk PAS membentuk kerjasama rasmi- tahalul siyasi- dengan Umno.
Konsep kerjasama itu sama seperti yang dibuat bersama DAP dan PKR untuk Pakatan Rakyat yang kini bubar.
Nik Zawawi yang pernah mengimami solat hajat awam memohon jangka hayat PH dipendekkan, berkata PAS tidak boleh selamanya jadi pembangkang.
“Kita mahu menjadi kerajaan pusat and gerak ke Putrajaya. Kita tak naif dalam parti, kadang-kadang kita kena ambil maklumat dari bawah ke atas.
“Tetapi dalam tahaluf siyasi ia mesti daripada atas sampai ke bawah,” katanya merujuk kepada keperluan ahli biasa parti menerima keputusan kepimpinan tertinggi. – 23 Jun, 2019.
Komen