Hishammuddin hadir ke SPRM untuk beri kenyataan


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein dilapor tiba di SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2019.

BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein disiasat agensi antirasuah hari ini dipercayai bagi siasatan perjanjian pertukaran tanah kementerian itu.

Difahamkan, Hishammuddin dibawa masuk ke ibu pejabata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik tiba di ibu pejabat agensi tersebut di Putrajaya pada jam 11 pagi.

Siasatan itu dipercayai melibatkan perjanjian pertukaran tanah milik kementerian yang dibuat sekitar tahun 1990-an dan diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Difahamkan, seorang lagi bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi juga sudah disoal oleh SPRM pada Khamis lepas mengenai perjanjian itu.

Suruhanjaya itu juga tidak menolak kemungkinan memanggil bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga seorang bekas menteri pertahanan untuk diambil keterangan.

Pada 17 Mei lalu, sejumlah 14 laporan dibuat oleh pegawai khas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Mohd Nasaie Ismai.

Ia susulan laporan audit khas ke-16 berhubung pertukaran tanah, termasuk pembinaan kem tentera di kawasan Parlimen tertentu untuk menambah undi bagi ahli politik Umno tertentu.

Ini dilakukan sebelum PRU14 yang menyaksikan ribuan anggota dan ahli keluarga mereka dipindahkan ke kem baru.

Terdahulu, Hishamuddin dikaitkan dengan kes penukaran salah satu daripada tanah berkenaan, melibatkan salah seorang bekas pembantunya.

Pembantu berkenaan didakwa menggunakan pengaruh untuk memastikan kem tentera dibina di Paloh, kerusi negeri di kawasan Parlimen Sembrong yang dipegang oleh Hishammuddin.

Ia didakwa dilakukan meningkatkan undinya dalam PRU14.

Audit dijalankan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang, yang dilantik oleh Pakatan Harapan untuk meneliti perjanjian meragukan yang diluluskan oleh pentadbiran BN, bermula dengan Kementah.

Di bawah sistem pertukaran tanah itu, kerajaan BN menswastakan tanah kerajaan sebagai pertukaran untuk pembinaan kemudahan kerajaan.

Empat kem itu didakwa dibina untuk mengalihkan pengundi tentera yang berada di Bera, Segamat, Paloh dan Hutan Melintang.  – 23 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen