Sarawak belum dapat kawal sepenuhnya industri minyak dan gas


Ragananthini Vethasalam

Sarawak mula mengawal selia industri minyak dan gas negeri itu mengikut Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 dan peraturan berkaitan yang lain sejak 1 Julai, 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2019.

SETAHUN selepas Sarawak mengambil hal kawal selia aktiviti minyak dan gas di negeri itu, mereka masih belum dapat melaksanakan peraturan sepenuhnya sementara proses perniagaan sebelum ini masih kekal, kata sumber.

Sarawak mula mengawal selia industri minyak dan gas negeri itu mengikut Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) 1958 dan peraturan berkaitan yang lain sejak 1 Julai, 2018.

Syarikat utama minyak dan gas termasuk Petronas dikehendaki membuat permohonan lesen, permit, sewa dan kelulusan untuk melakukan aktiviti di huluan dan hiliran di Sarawak.

Syarikat minyak milik negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) ditubuhkan pada Mac 2018 oleh kerajaan negeri dengan mandat untuk mengawal selia aktiviti minyak dan gas negeri.

Terdahulu daripada itu, Petronas atas kapasitinya sebagai syarikat minyak negara, bertanggungjawab atas kawal selia aktiviti.

Syarikat minyak dan gas diberikan tempoh sehingga akhir tahun ini untuk beroperasi seperti biasa, dan pada masa sama mematuhi peraturan baharu industri itu di Sarawak.

Sumber daripada industri minyak dan gas memberitahu The Malaysian Insight bahawa permit lama dan lesen masih boleh digunakan dan Petros belum mengeluarkan permit sendiri.

Mereka turut mendakwa hala tuju Petros masih belum jelas, kerana terlalu sedikit maklumat yang ada.

“Setakat ini tidak ada berita tentang hala tuju dan perkembangan. Mungkin ia disebabkan usaha gagal untuk meminda Perjanjian Malaysia 1963 pada sidang Parlimen lalu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Jurucakap Petros berkata industri minyak dan gas Sarawak pada masa ini sedang melalui tempoh peralihan, tanpa mengulas lanjut. – 25 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen