SELEPAS berita kerajaan Pakatan Harapan akan membuka kembali siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock diumumkan, ia disambut meriah keluarganya, tetapi keseronokkan itu tidak bertahan lama selepas siasatan beberapa kali tertangguh.
Bagaimanapun, pelantikan peguam dan aktivis hak asasi terkenal Latheefa Koya selaku ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM), keluarga Teoh kembali menaruh harapan yang misteri kematiannya dapat diselesaikan.
Adik Teoh, Lee Lan, berkata Latheefa memulakan kerjaya aktivismnya dengan perjuangan menentang ketidakadilan, keputusan mahkamah tidak adil dan teknik soal siasat meragukan.
Dan kerana itu, selaku ketua baharu SPRM, beliau perlu memainkan peranan mempercepatkan siasatan kes kematian Teoh itu.
“Kami masih mahukan keadilan untuk Beng Hock. Kami percaya hanya dengan menghukum pembunuhnya, reputasi SPRM boleh dikembalikan,” kata Lee Lan kepada The Malaysian Insight.
“Mansuhkan teknik soal siasat (yang kejam) dan siksaan, dan halang kematian saksi atau suspek dalam tahanan.”
Katanya lagi, bekas ketua SPRM Mohamad Shukri Abdull sepatutnya dipecat selepas kematian abangnya, tetapi sebaliknya dinaikkan pangkat.
Selepas kerajaan baharu dibentuk pada Mei 2018, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Kabinet bersetuju membuka kembali siasatan terhadap kematian Teoh.

Lee Lan berkata walaupun wujud laporan Kabinet mempertimbangkan pembukaan semula siasatan kes itu, keluarga Teoh tidak menerima sebarang berita atau perkembangan lanjut.
“Kami tidak dengar berita apa-apa. Selepas kerajaan baharu berkuasa, kami tanya peguam dan polis, termasuk sama ada mereka akan mula menahan dan menyoal pegawai terbabit, tetapi kami tidak nampak sebarang tangkapan atau soal siasat,” katanya.
“Kami percaya polis sudah menghantar hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara tetapi masih tiada perkembangan.
“Ahli keluarga kami kecewa. Orang suruh kami beri masa kepada kerajaan untuk buka semula kes tetapi mereka pun sudah hilang sabar.”
Lee Lan merayu kerajaan Pakatan Harapan untuk menamatkan “penderitaan keluarga Teoh dan rakyat dan (melayan) permohonan kami untuk tangkapan dan sabitan pembunuhnya”.
Teoh ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14.
Bekas wartawan yang ketika itu pembantu kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah, dilaporkan jatuh selepas disoal siasat berkaitan kes korupsi.
Pada 5 Januari 2011, Majistret Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan “penghakiman terbuka”, menyatakan kematian Teoh bukanlah bunuh diri atau pembunuhan. Tetapi pada September 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan “penghakiman terbuka” itu terkhilaf.
Ean Yong memberitahu The Malaysian Insight yang penyiasat SPRM sudah menghubungi beberapa orang kontraktor yang juga disoal siasat pada hari sama dengan Teoh.
“Mereka berada dalam bangunan sama dengan (Teoh) Beng Hock dan saya tahu mereka membantu siasatan,” katanya.
Ng Geok Chee, pengerusi Tabung Amanah Teph Beng Hock (TBH), berkata beliau sudah menghantar surat kepada Peguam Negara Tommy Thomas untuk bertanya tentang perkembangan kes, dan jawapan diterimanya adalah polis sudah diarahkan untuk menyiasat.
“Kami sudah hantar surat lain kepada AG, memohon untuk perjumpaan. Tetapi, masih tiada maklum balas,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ng menambah, kumpulan itu juga sudah menghantar surat kepada Latheefa selepas peguam itu dilantik masuk SPRM, dan berharap keadilan akan dapat diberikan kepada kematian Teoh.
“Kami sudah 10 tahun kecewa,” tambahnya. – 24 Jun, 2019.
Komen