PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam berikrar melaksanakan sekatan baharu secara besar-besaran terhadap Iran ketika Tehran memberi amaran kepada Washington, mana-mana serangan akan menyaksikan kepentingannya di seluruh Asia Barat musnah.
Perang mulut itu semakin sengit selepas Trump menarik balik tindakan ketenteraan ke atas Iran sebagai maklum balas menembak jatuh dron pengintipan AS.
Insiden itu, yang berlaku selepas siri serangan kapal tangki di laluan keluar perkapalan sibuk di Teluk yang dipersalahkan AS terhadap Iran, memburukkan lagi hubungan sedia tegang antara dua negara. Iran menafikan bertanggungjawab atas serangan terbabit.
Trump bersama penasihatnya di Camp David semalam pada mulanya memberitahu media, beliau berminat menjadi “sahabat baik” Iran, jika negara itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata nuklear.
“Apabila mereka bersetuju, mereka akan menjadi sebuah negara kaya. Mereka akan gembira dan saya akan menjadi sahabat baik. Saya berharap ia akan berlaku,” katanya kepada media di luar White House.
Satu perjanjian antarabangsa dicapai Tehran dan kuasa dunia pada 2015 bertujuan mengekang cita-cita nuklear Iran sebagai pertukaran penarikan sekatan, namun AS keluar daripada perjanjian itu lebih setahun lalu dengan sekatan ekonomi menghukum.
“Kami meletakkan tambahan sekatan besar-besaran ke atas Iran pada Isnin. Saya tidak sabar menunggu pada hari sekatan ditarik balik dari Iran dan mereka menjadi negara produktif dan makmur sekali lagi. Lebih cepat lebih bagus!” tweet Trump yang turut menghantar tentera tambahan ke Asia Barat.
Terdahulu, seorang pegawai atasan tentera Iran memberi amaran kepada Washington supaya tidak melakukan apa-apa serangan, yang dikatakan Trump masih satu pilihan. – AFP, 23 Julai, 2019.
Komen