Era YouTubers Revolusi Industri 4.0


Zainal Rashid Ahmad

CONTENT creator atau pembikin kandungan kini menjadi istilah paling hot dalam kerancakan Revolusi Industri (IR) 4.0. Ini demam di seluruh dunia antaranya sejak 2012 melalui platform YouTube – seterusnya mencipta istilah YouTubers.

Istilah YouTubers paling berjaya dalam konteks janaan royalti berbanding komisen “influencer” dalam Instagram mahupun “dropship” dalam Facebook.

Selebihnya, YouTube menawarkan potensi kerjaya kreatif dengan royalti AS$1 bagi setiap 10,000 tontonan video.

Sebagai kiraan mudah, sejuta tontonan sesuatu klip akan membawa hasil AS$1,000 (RM4,000). Bayangkan sekiranya saluran yang aktif memuat turun 500 video setahun dengan total tontonan 1 bilion? Hasilnya AS$1 juta (RM4 juta).

Justeru, YouTubers ialah kerjaya IR 4.0 yang paling trending pada era kebangkitan komuniti kandungan digital yang memasarkan kandungan kreatif di platform Internet.

Malaysia mabuk Facebook dan Instagram

Di Malaysia, istilah instafamous dan bloggers sudah lama menjadi trend. Tetapi kemunculannya masih amatur dan belum mampu mencipta lonjakan menjana pendapatan.

Budaya bloggers dan instafamous masih di peringkat populariti berasaskan angka pengikut dan jumlah “likes”. Namun, tidak menjamin semua data dan angka itu mampu menyumbangkan pendapatan berbaloi kepada pemilik akaun.

Begitu juga Facebook. Pengguna Internet di negara ini memiliki 28 juta akaun di Facebook. Relatifnya 90% Facebook masih menjadi platform komunikasi jaringan tanpa sebarang pendapatan. Kecuali 2.8 juta akaun disenaraikan sebagai akaun komersil bagi promosi produk jualan.

Majoriti akaun komersil bertindak sebagai dropship – terma wakil jualan yang menjadi broker pemasaran berasaskan komisen jualan produk.

Universiti YouTubers

Belum pernah lagi kita mendengar mana-mana universiti di seluruh dunia mengeluarkan syarat kemasukan pelajar baharu dimeritkan berasaskan reputasi sebagai Youtuber.

Kecuali minggu lalu Universiti Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) mengumumkan merit pengambilan siswa baharu dikreditkan dengan pencapaian media sosial. Pemilik saluran YouTube menjadi antara syarat tambahan untuk menyertai UPNVJ.

Menerusi skim ini UPNVJ mengiktiraf bakal pelajar yang berjaya menjadi bintang YouTube.

Cuma sebagai syarat tambahan, bukan sekadar akaun atau saluran YouTube, calon perlu memiliki 10,000 pelanggan dan total tontonan siaran melebihi 100 ribu kali.

Bagi negara yang agresif dengan permintaan kandungan YouTube, syarat ini tidak berat. Dengan rekod empat lagu popular menyumbang pada 1 bilion tontonan, Indonesia dianggap antara negara pengguna YouTube yang agresif.

Kombinasi empat lagu Asal Kau Bahagia nyanyian Armada (301 juta ), Surat Cinta untuk Starla – Virgoun (290 juta), Goyang Jaran – Nella Kharisma (222 juta) dan Bukti – Virgoun (230 juta) membuktikan trend tontonan YouTube memiliki habit yang luar biasa di negara Merah Putih.

Selain muzik pop, Indonesia sudah melahirkan YouTuber berkelas Asia walaupun semua senarai top 10 pencipta kandungan di negara itu menyiarkan kandungan dalam Bahasa Melayu.

Jutawan muda YouTuber Indonesia

Paling popular anak muda Atta Halilintar. Dengan 17 juta pelanggan dan total tontonan 1.5 bilion, anak muda hipster berusia 24 tahun ini, sudah mencipta pendapatan royalti AS$1.5 juta (RM6 juta). Atta melancarkan salurannya pada 2013 dengan kandungan muzik rap dan aktiviti gaya hidup popular.

Langkah Atta mendorong kelahiran YouTuber muda lain. Cuma dengan genre kandungan lebih kasual. Antaranya, istilah kandungan roman gombal. Trend yang dianggap lelucon romantik di Indonesia.

Nama Bram Dermawan (1.5 juta pelanggan), Angga Candra (2.3 juta), Jamil Hanafi (698,000) dan Awan Kinton (300,000) kini mewarnai jalur masa pelanggan saluran komedi roman gombal.

Kandungan pendek dengan momen romantik prank menggunakan kamera tersembunyi berjaya menarik jutaan tontonan.

Walaupun jumlah pelanggan saluran genre ini masih kecil, namun total tontonan bahan siaran kesemua raja gombal ini sangat menarik.

Bram mencapai 223 juta tontonan bagi muat turun videonya sejak 2012. Ini memberi nilai AS$223,000 (RM892,000). Angga Chandra memiliki total tontonan 204 juta dengan nilai royalti AS$204,000 (RM816,000).

Dua YouTubers ini membuktikan, dengan kos beberapa rupiah saja, angka komersil kandungan prank roman gombal sangat berbaloi. Malah, jumlah royalti yang diterima sangat tinggi bagi saluran yang dilancarkan pada November 2013.

Selain saluran roman gombal, penggemar Youtube di Indonesia juga dilanda demam saluran kandungan ilmiah. Terutama genre khas untuk pengetahuan am.

Munculnya saluran Calon Sarjana dengan 10 juta pelanggan dan 2 bilion tontonan total, sangat menggemparkan. Saluran YouTube yang dilancarkan pada 2016 berjaya meraih AS$2 juta (RM8 juta) royalti dalam tempoh tiga tahun.

Pelengkap saingan saluran pengetahuan am di Indonesia ialah Calon Ilmiah. Walaupun baru mencapai 2 juta langganan, total tontonan sudah mencecah 250 juta. Saluran ini dilancarkan pada Ogos 2017. Belum sampai dua tahun, saluran ini sudah meraih royalti AS$250,000 (RM1 juta).

Begitulah realiti demam YouTubers di Indonesia. Saya menghabiskan tiga malam menyelongkar saluran demi saluran dan profil YouTubers serta menyemak kadar royalti berdasarkan amalan YouTube yang membayar AS$1 (RM4) bagi setiap 10,000 tontonan.

Selain YouTubers di atas, tidak lengkap membicarakan dunia kandungan digital negara Merah Putih ini tanpa menyebut nama Ria Ricis. Secara individu, Ria ialah YouTuber ranking kedua di belakang Atta.

Ria memiliki 15 juta pelanggan dan meraih 1.8 bilion tontonan bagi 40 bulan siaran. Ini bererti gadis berusia 23 tahun ini menerima AS$1.8 juta (RM7.2 juta) royalti dalam tiga tahun siaran.

Ria berjaya memikat penonton YouTube dengan siri muat naik kandungan gaya hidup generasi milenial masa kini.

Saya juga menemukan puluhan lagi saluran YouTubers Indonesia yang menjana jutaan ringgit royalti. Antaranya, The Shiny Peanut, Dunia Manji, Rans, Daftar Popular, Merry Riana, Tio Tulang, Raditya Dika dan saluran amatur milik YouTubers asal pedalaman Indonesia termasuk di Sulawasi Selatan dan Pekan Baru.

Kebangkitan kandungan media digital yang mencipta pemerdayaan ekonomi dengan membawa janaan royalti yang besar daripada dolar AS ke rupiah Indonesia menyebabkan UPNVJ berani merentas cara baru pengambilan pelajar.

YouTubers kini kerjaya kreatif IR 4.0 dan mampu menjana pendapatan ratusan ribu ringgit setahun. Walaupun dihasilkan dalam Bahasa Melayu, ia masih mampu menjadikan pemainnya sebagai jutawan.

Karyawan kreatif Indonesia membuktikan, YouTube kini saluran lebih berdaya maju. Berbanding bekerja di stesen TV yang berkos tinggi dan mulai sengal dan tepu kreativitinya. – 23 Jun, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen