KETERANGAN saksi perbicaraan SRC International, Suboh Md Yassin pada hari Jumaat menandakan kali pertama saksi memberitahu mahkamah bahawa dia takut kehilangan nyawa ketika skandal SRC International terbongkar di bawah pemerintahan bekas perdana menteri Najib Razak.
Suboh yang berusia 68 tahun memberitahu mahkamah, pada minggu ke-7 perbicaraan, beliau sangat takut selepas berita skandal itu terbongkar sehingga mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Bangkok, Thailand bersama isterinya.
“Saya takut dengan apa yang berlaku dan juga Najib, yang berkuasa sebagai perdana menteri pada waktu itu. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya dan keluarga saya,” kata Suboh.
Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International itu memberitahu mahkamah bahawa beliau juga menerima panggilan telefon daripada pegawai yang tidak dikenali daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan 2015.
Skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) baru sahaja terbongkar dan penyiasat mula menyerbu premis dan bank yang berkaitan dengan anak syarikatnya SRC International.
Bekas pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil juga turut memberi nasihat kepadanya untuk meninggalkan negara.
Nik Faisal masih menjadi buruan sehingga hari ini.
Suboh adalah saksi ke-42 pendakwaan. Beliau kelihatan lemah ketika di mahkamah dengan bertongkat dan memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak sihat kerana masalah jantung.
Najib, yang sedang menjalani perbicaraan atas tujuh pertuduhan jenayah, termasuk tiga pertuduhan pengubahan wang haram setelah menerima RM42 juta dalam akaun bank peribadinya, tidak menunjukkan apa-apa reaksi sepanjang keterangan yang diberikan oleh Suboh.
Suboh berkata beliau berada di Bangkok dan bertemu seorang lelaki Thailand yang menawarkan tiket pesawat ke Abu Dhabi. Suboh berkata beliau tinggal di Rosewood Hotel selama lebih dari seminggu, dengan semua perbelanjaan ditanggung. Beliau kemudian kembali ke Bangkok dan seterusnya pulang semula ke Kuala Lumpur.
Di Malaysia, Suboh berkata beliau dihubungi oleh Nik Faisal yang memberitahu beliau untuk melarikan diri sekali lagi bagi mengelak daripada pihak berkuasa. Ini terjadi selepas pilihan raya umum tahun lalu, tetapi Suboh berkata beliau memilih untuk tetap “membantu siasatan pegawai penguat kuasa.”
Beliau menyerahkan diri kepada SPRM pada bulan Jun tahun lalu dan mendapat jaminan perlindungan saksi di lokasi yang tidak didedahkan sejak penyerahan diri beliau.
Selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, SPRM kembali membuat siasatan ke atas SRC International, bagi kali kedua selepas siasatan yang dijalankan pada tahun 2015.
Apabila perbicaraan SRC International diteruskan pada 1 Julai depan, peguam pembelaan dijangka akan membina kronologi peristiwa, kerana kesaksian pada hari Jumaat menunjukkan bahawa Suboh tidak menghabiskan masa tiga tahun di Bangkok atau di luar negara.
Pemeriksaan silang juga mungkin akan memberi tumpuan kepada motif beliau untuk melarikan diri serta dakwaan bahawa ia Nik Faisal dan Najib adalah orang yang bertanggung jawab mengawal penuh SRC International.
Suboh telah memberi keterangan bahawa beliau memainkan peranan kecil dalam banyak cadangan atau urus niaga, namun beliau mendakwa tidak boleh meneruskannya tanpa persetujuan Nik Faisal yang berkhidmat sebagai “pengantara” Najib yang pada masa yang sama berkhidmat sebagai penasihat emeritus kepada SRC International.
Suboh juga memberitahu mahkamah bahawa Nik Faisal merujuk kepada Najib apabila merujuk “orang atasan” yang mahu cadangan atau transaksi besar dipercepatkan.
beliau mendakwa ketika beliau menjadi pengarah dari tahun 2011 hingga 2015, dia tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana segala perkara dibawa kepada Najib oleh Nik Faisal.
Contohnya, katanya, adalah kelulusan lembaga pengarah terhadap geran RM250 juta kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, yang dilantik pada 3 September 2014 untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SRC International.
“Saya menimbulkan persoalan mengenai peraturan syarikat dan isu berkaitan pematuhan kerana ia melibatkan penggunaan dana sebanyak RM250 SRC International.
Tetapi Nik Faisal didakwa berkata, ‘ia akan diselesaikan’ dan menambah bahawa perkara itu telah diluluskan oleh ‘pihak atasan’.
“Pada pendapat saya, ‘pihak atasan’, seperti yang disebut oleh Nik Faisal, adalah merujuk kepada Datuk Seri Najib, yang merupakan penasihat emeritus kepada SRC International,” kata Suboh. – 23 Jun, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen