Wanita Slovenia cedera diserang beruang


Dengan lebih separuh daripada wilayah negara Eropah tengah itu diliputi hutan, penguatkuasaan penakaian spesis itu berjaya mengekalkan bilangan beruang dan serigala. – Gambar AFP, 22 Jun, 2019.

SEEKOR beruang mencederakan seorang wanita berusia 80 tahun pada Sabtu di Slovenia tengah, dua hari selepas parlimen mengambil keputusan untuk mengawal populasi beruang dan serigala yang semakin meningkat di rantau itu.

Serangan itu berlaku pada awal Sabtu di Vrh, sebuah kampung yang terletak 20 kilometer di selatan ibu negara Slovenia, Ljubljana, kata pihak berkuasa di samping turut menambah bahawa mangsa telah dimasukkan ke hospital dan tidak berada dalam keadaan kritikal.

Laman web berita 24ur.com melaporkan wanita berusia 80 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dalam serangan beruang tersebut.

Dengan lebih separuh daripada wilayah negara Eropah tengah itu diliputi hutan, penguatkuasaan penakaian spesis itu berjaya mengekalkan bilangan beruang dan serigala.

Tetapi mahkamah membekukan langkah tersebut tahun ini selepas ahli-ahli alam sekitar menggesa agar cara yang berbeza digunakan untuk menguruskan populasi haiwan tersebut.

Peningkatan serangan terhadap petani, mendorong parlimen negara itu memutuskan untuk bersetuju dengan usul tergempar Khamis lalu, yang membenarkan pelaksanaan penakaian 200 beruang dan 11 serigala tahun ini.

“Terdapat had dalam semua hal, walaupun wujud kebimbangan berkenaan alam sekitar, tetapi apabila ada korban manusia, mahkamah dan organisasi-organisasi memilih untuk diam,” kata Perdana Menteri Marjan Sarec pada hari Sabtu yang jelas merujuk ahli alam sekitar.

Walaupun populasi beruang hampir bertambah sebanyak dua kali ganda sejak sedekad yang lalu - dengan 1,000 ekor dianggarkan hidup di alam liar - insiden pertembungan haiwan itu dengan manusia jarang terjadi dan tidak ada kematian sejak lebih 10 tahun lalu. – AFP, 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen