Cari penyebar bukan pelaku rakaman seks, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Hadi yakin kalau boleh membantu siasatan itu, PAS mampu menyelesaikannya dalam masa hanya seminggu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Jun, 2019.

PAS menggesa pihak berkuasa menyiasat segera dalang yang menyebarkan video intim dua lelaki yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kerana itu lebih mustahak berbanding mengesahkan pelakunya, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Hadi yakin kalau boleh membantu siasatan itu, PAS mampu menyelesaikannya dalam masa hanya seminggu.

“Saya cadang pihak polis cari siapa pengedar, bukan pelakon, yang penting cari penerbit. Pelakon orang mati boleh jadi pelakon, tapi penerbit yang penting.

“PAS boleh tolong, kalau PAS masuk (bantu siasat) seminggu kita boleh selesai,” kata Abdul Hadi ketika ditemui pemberita sewaktu Muktamar ke-65 di Kuantan, Pahang hari ini.

Azmin dikaitkan dengan rakaman intim dua lelaki itu selepas Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliau salah seorang yang terlibat dan sudah berhubungan seks dengan menteri itu sejak tiga tahun lalu.

Azmin menafikan dakwaan Haziq dan menyifatkannya sebagai fitnah jahat bertujuan menghancurkan masa depan politiknya.

Azmin dan beberapa penyokongnya juga turut membayangkan bahawa ada beberapa pihak dalaman PKR terlibat dalam menyebarkan video seks tersebut.

Sehubungan itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menuntut penjelasan parti kenapa Haziq tidak diambil tindakan tegas. 

Presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun mengatakan lembaga disiplin parti itu telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani kes tersebut.

Beliau mengatakan parti telah sebulat suara untuk meminta Haziq menunjukkan surat tunjuk sebab bagi menjelaskan kenyataan beliau berkenaan video seks tersebut.

“Keputusan ini secara konsensus dan ternyata ini telah dipersetujui. Begitu juga pertemuan saya dengan pimpinan Sabah and Sarawak,” kata Anwar.

Jelasnya walau para pemimpin berkenaan menuntut penjelasan, mereka tetap setuju dengan pendirian bahawa tuduhan ke atas Azmin adalah perkara jijik.

“Mereka mahu beberapa keterangan tetapi setuju dengan keputusan parti bahawa kita tolak budaya jijik dalam politik ini dan kita serah siasatan sepenuhnya kepada PDRM, SKMM dan badan-badan bertanggungjawab yang lain.”

Setakat ini, Azmin dan Haziq telah telah dipanggil bagi memberikan keterangan kepada pihak polis.

Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham turut dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan video seks tersebut.

Pada 13 Jun lalu, Hilman membuat laporan polis berhubung kes video itu sebelum membuat aduan qazaf bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap penyebaran video berkenaan. 

Polis turut menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang menunggu keputusan ketulenan video seks tersebut di samping menyatakan bahawa lebih ramai individu dari PKR akan dipanggil bagi membantu siasatan. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen