Serangan rejim bunuh 4 orang awam di Syria


Dua kanak-kanak itu terbunuh di sebuah garaj di pinggir bandar Maaret al-Numan, kata Badan Pemantau Serantau bagi Hak Asasi Manusia Syria. – Gambar EPA, 22 Jun, 2019.

SERANGAN udara kerajaan Syria ke atas pemberontak di barat laut negara itu membunuh empat orang awam, dua daripadanya kanak-kanak, kata badan pemantauan perang.

Rantau Idlib yang memiliki populasi penduduk kira-kira tiga juta orang sepatutnya dilindungi susulan kesepakatan zon penampan perang September tahun lalu, namun wilayah yang dikuasai kumpulan jihadis itu telah dibom rejim pemerintah dan sekutu utamanya, Rusia, sejak akhir April lalu.

Dua kanak-kanak itu terbunuh di sebuah garaj di pinggir bandar Maaret al-Numan, kata Badan Pemantau Serantau bagi Hak Asasi Manusia Syria.

Menurut badan pemantau yang berpangkalan di Britain itu lagi, dua lagi orang awam yang terbunuh adalah akibat serangan di beberapa daerah di Idlib termasuk di Kansafra dan Khan al-Subul.

Perjanjian September yang ditandatangani oleh Rusia dan pemberontak yang didukung Turki sepatutnya menubuhkan sebuah zon penampan di sekitar kawasan Idlib, tetapi ia tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya kerana kumpulan jihadis enggan menarik diri.

Ketegangan di antara kedua-dua pihak semakin mendalam pada bulan Januari apabila Hayat Tahrir al-Sham - sebuah perikatan yang dipimpin bekas anggota Al-Qaeda Syria - mengambil alih kawalan pentadbiran di rantau tersebut.

Sejak akhir April, lebih daripada 460 orang awam terbunuh dalam serangan rejim pemerintah atau Rusia, menurut badan pemantau tersebut.

Keganasan yang berlaku telah memaksa kira-kira 330,000 orang meninggalkan rumah mereka dan berkumpul di 23 pusat kesihatan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Perang di Syria telah membunuh lebih daripada 370,000 orang dan menebabkan jutaan lagi melarikan diri sejak ia meletus pada tahun 2011 ekoran protes terhadap penindasan kejam pentadbiran Presiden Bashar al-Assad. – AFP, 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen