GARIS panduan kerjasama yang diputuskan antara PAS dan Umno sedang dirangka dengan teliti, namun dasar asas kerjasama sudah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi berkata, kerjasama yang diluluskan adalah perpaduan, taawun, dan tahaluf siyasi.
“Majlis Syura Ulama sudah bincang dan diputuskan, kita hanya perlu mendapatkan mandat daripada muktamar, dari segi politik sudah dibincangkan majlis syura ulama, dalam perlembagaan kita, keputusan itu mesti diizinkan muktamar,” kata Abdul Hadi kepada pemberita.
“Garis panduan dalam perjalanan, secara dasar sudah dipersetujui,” katanya, ketika ditemui di Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, hari ini.
“Perpaduan, tahaluf, dan taawun, tiga perkara berbeza diluluskan di muktamar dengan Umno dan pihak lain seperti NGO termasuk mereka yang bukan Islam,” kata ahli Parlimen Marang lagi.
Perwakilan muktamar parti Islam itu hari ini bersetuju sebulat suara untuk mengadakan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Umno, berbanding kerjasama sementara atau taawun siyasi sebelum ini.
Langkah itu kemungkinan membuka jalan berlaku perkongsian kuasa antara kedua-dua parti di negeri yang ditadbir Umno dan PAS serta perkongsian sumber di pelbagai peringkat antara mereka.
Usul itu dibawa oleh wakil Dewan Ulama PAS iaitu Asri Mohd Daud.
Selain Dewan Ulama, usul berkenaan turut di bawa enam lagi PAS kawasan iaitu daripada Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar, dan Temerloh. – 22 Jun, 2019
Komen