TINDAKAN pihak berkuasa agama Kelantan untuk mengenakan sesi kaunseling dan denda terhadap seorang lelaki Islam yang memakai seluar pendek di khalayak mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Ada yang memperlekeh tindakan itu, tidak kurang juga yang memuji.
Di Facebook, beberapa orang menyifatkan kejadian itu sebagai petanda yang Malaysia kini semakin hilang identiti pelbagai kaumnya, malah ada yang bimbang undang-undang menekan Islam akan dilaksanakan di negara ini tidak lama lagi.
John Brian Anthony mengecam beberapa kumpulan tertentu yang cuba mengubah Malaysia menjadi “negara Taliban”.
“Perlahan-lahan mereka yang menerima pendidikan di Timur Tengah cuba mengubah Malaysia jadi negara Taliban.
“Bantahan utama Sarawak kepada pembentukan Malaysia adalah disebabkan (kebimbangan wujudnya) kejadian ini.
“Jangan salahkan orang Sarawak kerana bimbang tindakan seperti ini dilakukan kerajaan PAS,” tulisnya di Facebook.
Seorang lagi pengguna Facebook, Veeran Ponnusamy mengecam pihak berkuasa agama kerana bertindak melampau dalam “mengawal” rakyat.
“Satu lagi pihak ‘sewel’ yang dipanggil pihak berkuasa agama. Dengan jenis orang begini, negara kita pasti jatuh ke tangan mereka yang hina.”
Di Twitter pula, Raja רג׳ה (@rajan_2009) menyifatkan kejadian itu sebagai “kegilaan”, sementara itu Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP) merasakan kejadian itu “mengejutkan”.
Kejadian itu turut mencetuskan bantahan orang Islam sendiri, yang mengatakan tindakan pegawai agama itu memberi gambaran serong tentang Islam.
Zakuan Faiz di Facebook mengatakan yang Islam itu “mudah” dan ahli agamalah yang menjadi punca orang Islam keliru dan hilang arah.
“Islam itu mudah (tetapi) mereka sukarkannya. Kemudian mereka buat undang-undang pelik,” tulisnya.
Ezwan Roshaizad pula menyindir kejadian itu dengan berkata: “Kelantan…tanpa undang-undang bodoh, bukanlah Kelantan.”
Semalam, The Star melaporkan mengenai Wan Khairul Hayyee Wali, 30, yang diberikan notis oleh pihak berkuasa agama Kelantan pada Isnin lalu kerana memakai seluar pendek di tempat awam.
Dilaporkan dia dalam perjalanan bermain futsal apabila dia berhenti untuk membeli makanan. Dia kemudiannya dikenakan notis kerana melanggar Enakmen Jenayah Syariah kerana mendedahkan lututnya.
Dia juga dihendaki menghadiri kaunseling bulan depan, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah syariah dan didenda RM1,000.
Wan Khairul dilaporkan berkata yang dia tidak tahu memakai seluar pendek untuk bersukan satu kesalahan.
Di Facebook, seorang pengguna Jotashield Majestic mencadangkan pemain bola sepak Kelantan memakai jubah untuk bermain.
Ada juga yang mentertawakan berita itu, seperti seorang pengguna Twitter Burhan (@thetypicalmalay) yang berlawak: “Saya tak rasa boleh tinggal di Kelantan. Saya hanya pakai seluar bila perlu.”
Ketika ramai orang Islam dan bukan Islam meluahkan kemarahan dan kebimbangan dalam kes yang dilihat mereka sebagai petanda Islamisasi melampau yang boleh merosakkan kepelbagaian dan kesederhanaan Malaysia, terdapat juga orang Islam yang menyokong tindakan pihak berkuasa agama Kelantan itu.
Di Facebook, Zack Saad berkata tindakan pihak berkuasa itu betul.
“Soal aurat perlu diberi perhatian serius kerana ia membawa kepada zina. Bagus Kelantan. Saya sokong. Negeri lain boleh tiru Kelantan,” tulisnya.
Shukk Izzue pula mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kelantan dan berkata dia berharap semua pemain bola dan atlet beragama Islam juga berdepan tindakan undang-undang jika memakai seluar pendek untuk pertandingan, perlawanan dan acara sukan yang diadakan di negeri itu.
Katanya tindakan itu perlu diambil kepada semua atlet untuk menjauhi amalan pilih kasih dan mematuhi undang-undang Islam ada kewajiban semua tanpa mengira darjat.
Ally Frashidy pula berkata: “ Kes ni pun nak bergaduh. Dah tahu kita kena tutup aurat. Bila kena tindakan, semua orang bising.
“Kalau nak pakai seluar pendek atau berbogel, tukar agama anda. Orang Islam kena ikut cara Islam,” tulisnya di Facebook. – 27 September, 2017.
Komen