Muktamar PAS lulus usul kerjasama rasmi dengan Umno


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

PAS menerusi muktamarnya yang ke-65 hari ini memutuskan untuk mengadakan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Umno berbanding kerjasama sementara atau taawun siyasi sebelum ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019

MUKTAMAR PAS ke-65 hari ini meluluskan usul untuk memeterai kerjasama secara rasmi dengan Umno, sekaligus membuka jalan kebarangkalian penubuhan parti baru seperti Pakatan Rakyat ketika selepas pilihan raya umum 2008 dulu.

Melalui usul itu, PAS memutuskan untuk mengadakan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Umno, berbanding kerjasama sementara atau taawun siyasi sebelum ini.

Kerjasama itu juga membuka jalan kepada kongsi kuasa antara kedua-dua parti di empat negeri yang ditadbir masing-masing oleh Umno dan PAS, selain perkongsian sumber di pelbagai peringkat.

Usul dibawa oleh wakil Dewan Ulama PAS iaitu Asri Mohd Daud.

Selain Dewan Ulama, usul sama turut dibawa oleh enam lagi PAS kawasan iaitu Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar, dan Temerloh.

Wakil Dewan Ulama PAS iaitu Asri Mohd Daud yang membawakan usul memeterai kerjasama dengan Umno.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019

Dalam ucapan membentangkan usul, Asri berkata usul berkenaan perlu diluluskan memandangkan PAS pernah mengadakan kerjasama dengan DAP sebelum ini.

“Kita sama -sama pembangkang, Umno parti politik teras dalam negara dan golongan yang memperjuangkan agama.

“Kita juga ada tautan agama, dulu kita tahaluf dengan DAP, maka tidak salah untuk kita tahaluf dengan Umno dan rakan NGO yang boleh terima dasar serta syarat yang diberikan PAS,” katanya.

Perwakilan PAS kawasan Bangi Shafie Ngah ketika berbahas menyokong usul tersebut juga meminta agar pimpinan tertinggi memperhalusi had dan sempadan agar ahli parti boleh menjadikannya sebagai panduan.

“Pimpinan tolong meterai kerjasama ini, dan selesaikan bahagian teknikalnya, kita kena tetapkan had dan sempadan supaya kita tidak masuk urusan rumah tangga orang dan mereka juga tidak masuk urusan rumah tangga kita,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan agar PAS tidak melupakan kerjasama yang di meterainya dalam Gagasan Sejahtera, ketika mahu memeterai kerjasama dengan Umno.

Perwakilan kemudiannya sebulat suara berdiri dan menyatakan sokongan terhadap usul untuk kerjasama antara PAS dan Umno, termasuk NGO dimeterai. – 22 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen