Pakatan akan semak semula sempadan kawasan pilihan raya, dakwa perwakilan PAS


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi berkata khabar angin mengatakan bahawa pentadbiran Pakatan kini sedang berusaha menambah ahli Parlimen yang cukup di Dewan Rakyat bagi mendapatkan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019.

PAKATAN Harapan akan menyemak semula sempadan kawasan pilihan raya untuk mendapatkan kelebihan dalam pilihan raya akan datang, dakwa perwakilan PAS dalam persidangan muktamar tahunannya hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi berkata ada khabar angin kononnya pentadbiran Pakatan sedang berusaha menambah ahli Parlimen yang cukup di Dewan Rakyat bagi mendapatkan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Majoriti ini kemudiannya akan digunakan untuk membatalkan persempadanan semula yang dilakukan oleh pemerintahan Barisan Nasional pada awal tahun 2018, beberapa bulan sebelum PRU14, kata Che Abdullah.

“Bagaimana jika mereka berjaya melakukan (persempadanan semula) sebelum pilihan raya akan datang? 

“Mereka boleh memecah kawasan pilihan raya di mana mereka mempunyai majoriti besar untuk mewujudkan lebih banyak kerusi yang boleh mereka menangi,” kata Che Abdullah.

Beliau bercakap mengenai kemungkinan ini untuk memberi amaran kepada rakan partinya di Muktamar Tahunan PAS ke-65 supaya tidak mengambil mudah terhadap Pakatan Harapan.

Satu lagi kemungkinan, kata perwakilan Kelantan itu, adalah kerajaan Pakatan akan mengumumkan dasar-dasar yang akan memenuhi janji manifestonya sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Sekarang kita menyalahkan mereka kerana tidak memenuhi manifesto mereka tetapi bagaimana jika mereka menurunkan kadar tol, turun kadar pinjaman PTPTN dan menurunkan kos harga barang.

“Apa yang akan kita lakukan nanti? Itulah sebabnya kita tak boleh rehat dan bersabar dan bersedia untuk pilihan raya bermula sekarang,” kata Che Abdullah. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen