Umno perlu berbesar hati biar PAS pimpin kerjasama, kata perwakilan


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Muktamar PAS ke-65 yang diadakan di Kuantan, Pahang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019

UMNO harus terbuka dan berbesar hati memberikan PAS kuasa untuk memimpin kerjasama politik antara kedua-dua parti, kata perwakilan PAS Terengganu, Sulaiman Sulong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan itu berkata, Umno harus memberi ruang kepada PAS kerana parti Melayu itu tidak mampu melaksanakan Islam secara menyeluruh.

“Setelah melihat potensi yang ada, dan ketidakupayaan rakan taawun siyasi (kerjasama politik) melaksana Islam secara menyeluruh, sehingga dapat memberi izzah (petunjuk) dan penyatuan ummah dan kehamonian hidup bermasyarakat kaum beragama di Malaysia, rakan taawun siyasi perlu berjiwa besar dan berlapang dada memberi ruang PAS memimpin gagasan penyatuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden PAS, sempena Muktamar PAS ke-65, di Kuantan, Pahang hari ini.

Sulaiman menegaskan, PAS layak diberi kuasa memimpin gabungan kerjasama itu kerana sejak penubuhannya tidak pernah tersasar dalam agenda penyatuan ummah serta kaum dan agama.

“Kenapa kita nyatakan PAS kena mengetuai, kerana PAS komited dan konsistem dalam agena penyatuan ummah,kaum dan agama sejak wujudnya PAS,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pimpinan PAS agar tetap berhati-hati dan menggunakan kebijaksanaan mereka bagi membolehkan agenda kerjasama itu mampu direalisasikan.

“Segala pahit maung dan parut luka yang ditinggalkan masih berbekas, masih meninggalkan kesan.

“Namun di sana kebijaksanaan kepimpinan amat diharapkan agar agenda ini menjadi realiti dan bakal mengubat luka yang terguris dek akibat rakan kerjasama yang dipercayai,” katanya lagi.

Sulaiman berkata, ahli-ahli PAS begitu memahami perit getir dalam sebarang kerjasama berdasarkan pengalaman parti itu.

“Kita faham sukar dan payahnya tuntut penyatuan ummah apatah lagi memimpin. Pengalaman pahit maung dalam melaksanakan agenda penyatuan, kita pernah bersama Umno dan merasai perit dan pahit diceraikan tanpa talak oleh Umno-Perikatan.

“Kita pernah bersama Semangat 46 yang hari ini berkubur tanpa dapat dikesan, kita pernah bersama PKR dan DAP dalam agenda menyelamatkan Malaysia namun kita difitnah kerana tegas mempertahankan dasar untuk Islam sehingga kita dipaksa keluar meninggalkan persefahaman.

“Hari ini sekali lagi demi Islam kita cuba dan terus mencuba untuk perpaduan ummah membina rakan taawun bersama parti politik Umno dan lain-lain NGO di saat mereka merasai perit hilang kuasa akibat terpisah,” katanya.

Beliau sehubungan itu menggesa para perwakilan untuk mendukung perpaduan ummah sebagai satu perjuangan. – 22 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen