Operasi bantuan makanan ke Yaman digantung


Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) telah memulakan penggantungan separa operasi bantuan makanan di kawasan-kawasan di Yaman yang berada di bawah kawalan pemberontak Houthi Syiah yang bersekutu dengan Iran. – Gambar EPA, 22 Jun, 2019.

PROGRAM Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) telah memulakan penggantungan separa operasi bantuan makanan di kawasan-kawasan di Yaman yang berada di bawah kawalan pemberontak Houthi Syiah yang bersekutu dengan Iran, lapor agensi berita China Xinhua.

“Keputusan itu diambil sebagai jalan terakhir selepas rundingan panjang berkaitan persetujuan untuk memperkenal kawalan bagi mencegah pengalihan makanan yang ingin dihantar kepada golongan paling terjejas di Yaman menemui jalan buntu,” menurut WFP dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Keutamaan WFP masih lagi membantu memberi makan kepada golongan kanak-kanak, wanita dan lelaki yang berdepan ancaman kebuluran di Yaman.

“Bagaimanapun, di zon konflik, sesetengah individu ingin mengaut keuntungan dengan menjadikan golongan terjejas sebagai mangsa dan mengalih makanan dari kawasan yang paling memerlukannya,” katanya.

Arab Saudi telah menerajui satu tentera gabungan untuk berperang di Yaman selama lebih empat tahun sebagai sokongan kepada kerajaan buangan Yaman dengan menentang puak Houthi. – Bernama, 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen