PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat berbual dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman Al Saud melalui telefon berkaitan isu membabitkan Iran, lapor agensi berita China Xinhua.
Kedua-dua pemimpin membincangkan isu berkaitan Iran dan peranan Arab Saudi dalam memastikan kestabilan di Timur Tengah dan pasaran minyak global, menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Ketegangan antara Washington dan Tehran terus memuncak selepas insiden menembak jatuh sebuah dron tentera AS oleh Iran pada Rabu.
Iran mendakwa dron itu telah melintasi sempadannya manakala tentera AS menegaskan bahawa dron terbabit ditembak jatuh di ruang udara antarabangsa.
Insiden itu dan kesannya telah menyebabkan peningkatan dalam harga minyak dalam tempoh 48 jam lepas.
Trump pada Jumaat mengesahkan bahawa beliau telah memberi kebenaran agar serangan udara dilancarkan ke atas Iran sebagai tindak balas namun menghentikan operasi itu 10 minit sebelum ia dilaksanakan. – Bernama, 22 Jun, 2019
Komen