TENTERA kerajaan Libya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jumaat berkata ia telah melancarkan 10 serangan udara ke atas tentera yang dipimpin Jeneral Khalifa Haftar di selatan Tripoli, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut jurucakap tentera kerajaan, Mohamed Gonono, pasukan tentera udara melancarkan 10 serangan di selatan Tripoli dan bandar Gharian, yang terletak kira-kira 80 kilometer di selatan Tripoli.
Tentera kerajaan pada Khamis mengumumkan pelancaran lapan serangan udara ke atas musuh berhampiran Tripoli dan turut menyasarkan satu konvoi tentera musuh yang membawa peluru dan menuju ke Tripoli.
Haftar telah memimpin satu kempen ketenteraan sejak awal April bagi mengambil alih Tripoli, yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pertempuran itu setakat ini meragut 691 nyawa dan mencederakan sejumlah 4,012 yang lain. – Bernama, 22 Jun, 2019.
Komen