Pengguna jimat RM180 juta setahun kerajaan ambil alih lebuh raya, kata Guan Eng


Noel Achariam

Menteri Kewangan Li Guan Eng berkata, kadar caj kesesakan yang berbeza akan memastikan penjimatan kepada pengguna.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2019

PENGGUNA akan menerima penjimatan sehingga RM180 juta setahun selepas Putrajaya mengambil alih empat konsesi lebuh raya, kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan itu berkata penjimatan pengguna itu adalah daripada sistem caj kesesakan yang telah diumumkan sebelum ini dan akan terus masuk ke pendapatan boleh guna isi rumah Malaysia.

“Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan.

“Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30% pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.

“Di samping itu, bagi tidak membebankan rakyat, kerajaan akan mengekalkan caj kesesakan maksimum pada waktu puncak pada kadar tol sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Kementerian Kewangan (Diperbadankan) menawarkan untuk membeli pegangan Gamuda Bhd dalam empat pemegang konsesi lebuh raya untuk RM6.2 bilion, memandangkan kerajaan berusaha untuk kurangkan tol di Lembah Klang dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia.

Kementerian Kewangan (Diperbadankan) bercadang untuk memperoleh pegangan 70% milik Gamuda dalam anak syarikatnya Kesas Holdings Bhd, pegangan 52% milik Gamuda dalam syarikat bersekutunya, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint) dan 50% kepentingan Gamuda dalam projek usahasama Project Smart Holdings Sdn Bhd (Smart).

Lim berkata, struktur akhir caj kesesakan akan dikaji dan diperhalusi sebelum dilaksanakan pada 1 Januari, 2020.

“Pengambilalihan keempat-empat lebuh raya ini akan secara langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol di lebuhraya berkenaan sehingga akhir hayat konsesi.

“Pampasan ini tidak perlu lagi dibayar selepas semua lebuh raya ini diambil alih oleh kerajaan.

“Fakta-fakta ini dengan secara langsung membuktikan model konsesi lebuhraya bertol di bawah kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan pihak konsesi dan tidak mengutamakan rakyat jelata.”

Beliau berkata, kerajaan akan mampu memperuntukkan perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat seluruh Malaysia pada tahun akan datang.

Lim juga berkata, kerajaan telah berunding dengan pihak konsesi untuk nilai tawaran pengambilalihan yang paling wajar supaya ia bukan sahaja dapat memaksimumkan pulangan kepada rakyat, tetapi juga tidak akan mengakibatkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan.

“Pihak SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon. Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Dengan kata lain, kos pengambilalihan tersebut akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan.”

Beliau berkata, tanpa mengambil kira kumpulan PLUS, keempat-empat lebuh raya ini menguasai 48% daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

“Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya kami.

“Sekiranya model pengambilalihan ini berjaya, kerajaan akan terus menjadikannya sebagai asas untuk pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol lain, termasuk lebuh raya antara bandar pada masa hadapan.”

Tambah Lim, tawaran pengambilalihan lebuh raya ini adalah penyelesaian “win-win-win” untuk semua pihak yang terlibat. – 22 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen