SEKURANG-kurangnya tiga maut manakala berpuluh orang lagi dikhuatiri tertimbus apabila sebuah bangunan yang belum siap runtuh di pusat peranginan tepi pantai di Kemboja, kata pihak berkuasa.
Bangunan tujuh tingkat di bandar tepi pantai Sihanoukville milik sebuah syarikat China itu runtuh ketika pekerja sedang melakukan kerja-kerja pembinaan.
“Satu mayat berjaya dikeluarkan dan ada dua lagi mayat masih terperangkap antara serpihan runtuhan,” kata Gabenor wilayah Preah Sihanouk, Yun Min, sambil menambah 13 orang didapati cedera.
Menteri Penerangan, Khieu Kanharith yang memetik saksi pula berkata lebih 30 orang terperangkap dalma runtuhan tersebut.
“Kesemua mangsa yang mati adalah rakyat tempatan termasuk seorang penterjemah,” katanya di Facebook.
Gabenor Yun Min berkata kebiasaannya kira-kira 50 pekerja berada di tapak pembinaan pada satu-satu masa.
“Setakat ini 20 orang diselamatkan… kami tidak dapat memastikan berapa ramai sebenarnya yang terperangkap dalam runtuhan,” katanya. – AFP, 22 Jun, 2019.
Komen