Perwakilan Dewan Himpunan PAS sokong UEC 


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Wakilnya Kong Tuck Wah menyuarakan pandangan dewan itu semasa berucap pada perbahasan di muktamar parti Islam itu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2019.

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mendukung usaha mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kerana isu pendidikan, sama seperti agama, tidak harus dilibatkan dengan politik.

Wakilnya Kong Tuck Wah menyuarakan pandangan dewan itu semasa berucap pada perbahasan di muktamar parti Islam itu hari ini.

“Kami di DHPP kita sokong UEC. Isu agama dan pendidikan sensitif dan tak perlu diguna sebagai senjata politik dan dijadikan ugutan, sepatutnya ia dihormati,” kata Kong, membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-65, di Kuantan, hari ini.

Dalam ucapannya, Kong menyeru agar perwakilan PAS tidak membenci orang Cina dalam DAP, sebaliknya yang harus dibenci katanya adalah “Bangsa DAP”.

“Jangan marah Cina DAP, nak marah, marah bangsa DAP. 

“Banyak orang Cina dan India tak sokong DAP, kalau nak marah juga marah bangsa DAP,” katanya. 

Kong juga mengharapkan agar kepimpinan PAS dapat mengiktiraf ahli sayap berkenaan sebagai ahli penuh bagi membolehkan mereka mengundi dalam pemilihan 

“Kita DHPP mainkan peranan penting dalam parti. Kita minta jadi ahli penuh. Kita DHPP pun boleh undi dalam segala pergerakan parti,” kata Kong lagi.

Dalam perbahasan sebelum itu, perwakilan PAS Pahang Tarmizi Yahya berkata, sekolah vernakular gagal melahirkan warganegara yang taat. 

Tarmizi berkata, pengiktirafan UEC hanya membentuk warganegara yang tidak sayangkan negara kerana ia merupakan sistem yang diceduk daripada negara luar 

“Yang patut dikaji Kementerian Pendidikan adalah sistem pendidikan di sekolah vernakular kerana sekolah persendirian ini gagal lahirkan rakyat yang setia. 

“Ramai di kalangan mereka berani hina Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja, campur urusan agama dan pertikai hak Melayu dan campur urusan sensitif dalam negara,” katanya.

Perkara itu katanya berlaku disebabkan kegagalan sistem pendidikan yang perlu dikaji secara teliti oleh kementerian.

“Ini kegagalan sistem pendidikan yang ada yang patut dikaji semula. Antaranya pengiktirafan UEC yang kita tahu bukan sistem pendidikan negara, diambil dari luar, menjadikan rakyat seolah-olah tidak sayangkan negara sendiri,” katanya, lagi. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen