Lagi tuduhan rogol terhadap Trump


Seorang penasihat kolumnis majalah fesyen Elle semalam mendedahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memperkosanya dalam bilik persalinan sebuah pusat membeli belah di New York dua dekad lalu. – Gambar AFP, 22 Jun, 2019.

SEORANG penasihat kolumnis majalah fesyen Elle semalam mendedahkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperkosanya dalam bilik persalinan sebuah pusat membeli belah di New York, dua dekad lalu.

Trump menafikan pendedahan itu dan berkata tidak pernah bertemu wanita terbabit, E. Jean Carroll. Kejadian itu juga tidak pernah berlaku, tambahnya.

Menurut Carroll, kejadian rogol itu berlaku antara 1995 dan 1996, ketika Trump merupakan pemaju hartanah terkemuka. Carroll pula pada masa itu adalah penulis bagi majalah terkenal dan pengacara sebuah rancangan televisyen.

Wanita itu mendedahkan perbuatan Trump dalam satu petikan buku terbarunya yang diterbitkan oleh majalah Elle semalam. Pendedahan ini menjadikan Carroll wanita ke-16 yang menuduh Trump melakukan salah laku seks sebelum menjadi presiden.

Carrol, 75, berkata beliau terserempak dengan Trump yang juga sedang membeli belah di Bergdorf GoodmanBergdorf Goodman di Manhattan.

Kata Carroll, Trump pada mulanya meminta nasihat mengenai pakaian dalam yang mahu dibeli untuk seorang wanita. Mereka kemudian berseloroh supaya sama-sama mencubanya.

“Sebaik sahaja pintu bilik persalinan ditutup, dia terus tolak saya ke dinding hingga kepala saya terhantuk, lalu mencium saya,” tulis Carroll.

Tambahnya, Trump terus merogolnya ketika mereka masih berpakaian dan beliau akhirnya berjaya melarikan diri.

Carroll tidak pernah membuat laporan polis menegnai kejadian itu kerana bimbang akibat yang akan diterimanya.

Dalam bukunya itu, Carroll juga berkata beliau tidak mendedahkannya lebih awal kerana bimbang menerima ugutan bunuh, dihalau dari rumah dan dipecat.

Trump pula berkata Carroll hanya ingin meraih perhatian dengan pendedahan itu. – AFP, 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen