3 lagi Orang Asli Bateq masuk hospital


Noel Achariam

Setakat 21 Jun, terdapat 48 kes masih dirawat. 46 pesakit di wad biasa, manakala dua lagi di Unit Rawatan Rapi, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Jun, 2019.

TIGA lagi Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh dimasukkan ke dalam Hospital Gua Musang kerana mengalami masalah pernafasan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, mereka sudah dimasukkan ke dalam wad pengasingan untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

“Sejak 3 hingga 21 Jun terdapat 116 kes. Daripada jumlah itu, 47 kes sah demam campak.

“Setakat 21 Jun, terdapat 48 kes masih dirawat. 46 pesakit di wad biasa, manakala dua lagi di Unit Rawatan Rapi,” katanya selepas merasmikan sambutan Penderma Darah Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Dr Dzulkefly berkata pihak berkuasa akan terus memantau Orang Asli di Kg Kuala Koh, Kampung Gerdong, Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

Setakat ini, 15 penduduk kampung meninggal dunia kerana “wabak misteri” yang sudah disahkan sebagai demam campak.

Tambah beliau, ketika ini 12 pesakit ditempatkan di klinik kesihatan Orang Asli manakala 14 lagi di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang.

Menurut Dr Dzulkefly, punca kematian 12 Orang Asli masih belum dapat dipastikan kerana kementeriannya masih menunggu laporan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat yang diambil dari hutan dekat Kampung Kuala Koh.

“Kita jalankan ujian untuk tentukan jantina, umur, ketinggian dan waktu kematian.”

Pada 16 Jun, kesemua 12 mayat itu diambil dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

Dr Dzulkefly juga berkata situasi di Kampung Kuala Koh kini terkawal dan Jabatan Kesihatan daerah akan mengadakan program imunisasi campak untuk Orang Asli suku Bateq dan komuniti lain. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen