2 lagi pelajar dirawat terhidu udara beracun di Pasir Gudang


Noel Achariam

Kedua-dua pelajar dirawat di wad kanak-kanak dan dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di Pusat Darah Negara hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Jun, 2019.

DUA lagi pelajar dari Sekolah Agama Taman Mawar, di Pasir Gudang, Johor yang terdedah kepada udara bertoksik dirawat, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 18 pelajar, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri kesihatan berkata kes itu dirujuk kepada Klinik Kesihatan Pasir Gudang sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail semalam.

“Kedua-dua pelajar dirawat di wad kanak-kanak dan dalam keadaan stabil.

“Enam orang pelajar dirawat sebelum ini sudah dibenarkan keluar semalam,” katanya selepas merasmikan Perayaan Penderma Darah Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Semalam, Kementerian Kesihatan berkata 29 orang pelajar dan kakitangan dari dua buah sekolah di Pasir Gudang dirawat kerana terdedah kepada udara bertoksik, beberapa bulan selepas pencemaran kimia di Sungai Kim Kim menyebabkan 111 pelajar sekolah dan 4,000 orang awam menerima rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sumber pencemaran terbaru itu belum dikenal pasti.

Sebuah pusat kawalan dan pemantauan sudah dibuka di Stadium Pasir Gudang untuk menilai situasi dan akan dilanjutkan operasi mengikut kesesuaian.

Dr Dzulkefly juga menolak kemungkinan pelajar tersebut keracunan makanan dan berkata udara beracun adalah punca mereka jatuh sakit.

“Kami sudah menghantar sample klinikal ke makmal kami di Petaling Jaya untuk ujian toksiklogi.

“Jabatan Kesihatan Johor akan terus memantau situasi di lapangan.”

Ditanya mengenai sama ada punca pencemaran sudah dikenal pasti, beliau berkata semua agensi berkaitan sedang bekerjasama mengesannya.

Jabatan Alam Sekitar Johor sudah mengumumkan tiada pencemaran berlaku di Pasir Gudang ketika ini.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pula berkata JAS akan terus memantau kualiti udara dalam lingkungan 2km sekitar sekolah terbabit. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen