KEMPEN ketenteraan kontroversi Arab Saudi di Yaman terjejas teruk pada Khamis selepas wakil rakyat AS mengundi menghalang jualan senjata api diluluskan Presiden Donald Trump kepada Riyadh beberapa jam selepas Britain menggantung sementara jualan senjata sama.
Di Washington, Senat mengundi untuk menghalang jualan senjata AS$8.1 bilion kepada Arab Saudi, tindakan yang dianggap simbolik wakil rakyat Demokrat dan Republikan menentang presiden.
Sejumlah Republikan menyertai Demokrat mengundi menghalang 22 penjualan penyeliaan kapal perang, peluru berpandu dan senjata api lain kepada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan ketika ketengangan konflik makin memuncak di Timur Tengah.
Pentadbiran Trump mengambil langkah tidak melalui Kongres untuk meluluskan jualan senjata pada Mei, mengisytiharkan Iran sebagai “ancaman besar” kepada kestabilan serantau.
Tetapi, pengkritik di AS dan Britain meluahkan kebimbangan tentang kematian orang awam dalam kempen ketenteraan empat tahun diterajui Saudi di Yaman.
Konflik itu sudah meragut ratusan ribu nyawa dan dianggap PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk.
Penggantungan sementara jualan dilakukan Britain diumumkan oleh Setiausaha Perdagangan Antarabangsa Liam Fox selepas negara itu mengarahkan kerajaan “mempertimbangkan” jualan kerana kematian orang awam yang tinggi.
Data kerajaan dianalisis CAAT menunjukkan Britain, dengan 23% jualan import senjata kepada Arab Saudi, menjual hampir £5 billion (AS$6.4 billion, 5.6 billion euro) kepada negara itu sejak kempen ketenteraan di Yaman bermula pada 2015.
Jerman menggantung jualan senjata kepada Arab Saudi selepas pembunuhan Jamal Khashoggi pada 2018 dan menggesa semua kerajaan EU bertindak serupa. – AFP, 22 Jun, 2019.
Komen