Bentuk wajah Islam ramah, pertubuhan Islam Indonesia dicalon untuk Nobel Keamanan


Ahli wanita Nahdatul Ulama di Indonesia. Pertubuhan itu dan Muhammadiyah disifatkan berperanan penting menghalang penyebaran fahaman ekstremis di negara itu. – Gambar AFP, 22 Jun, 2019.

CENDEKIAWAN Indonesia mendukung pencalonan Nahdlatul Ulama (NU) and Muhammadiyah, dua pertubuhan Islam terbesar republik itu, untuk Hadiah Nobel Keamanan, lapor The Jakarta Post.

Mereka menyifatkan NU dan Muhammadiyah memainkan peranan penting membentuk wajah Islam yang ramah dan bertolak ansur, yang menjadi contoh serantau.

Paderi katolik dan sarjana terkenal Franz Magnis-Suseno, dipetik berkata, gambaran Islam diberikan kedua-dua pertubuhan itu bertentangan dengan gambaran Islam yang cuba ditawarkan ektremis.

“Kerana sikap mereka membolehkan Islam di Indonesia kekal moderat, membolehkan rakyat Indonesia menikmati keamanan dalam negara dan Indonesia jadi faktor penting penstabilan rantau Asia Tenggara dan dunia,” katanya dipetik akhbar itu.

Manakala, duta Indonesia ke Norway Todung Mulya Lubis dipetik berkata negara itu berdepan ancaman ekstremis dan kedua-dua pertubuhan Islam dihormati ramai itu menjadi “tulang belakang” Islam moderat dan jadi banteng penyebaran fahaman ekstremis.

Kedua-dua pertubuhan itu juga dianggap berperanan penting ketika transisi demokratik Indonesia pada 1998.

“Apabila Indonesia dilanda gelombang demokrasi, dua organisasi ini memainkan peranan penting mengekalkan perpaduan negara,” kata sarjana Islam Azyumardi Azra.

Sambungnya lagi, selagi mana NU dan Muhammadiyah menjunjung Islam moderat, kumpulan ekstremis tidak akan berjaya menyebarkan pengaruhnya di negara Islam terbesar itu.

Sokongan kepada NU dan Muhammadiyah untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan semakin meluas, pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1996, bekas presiden Timor Leste Jose Ramos-Horta turut menyatakan sokongan kepadanya.

Pemenang Hadiah Nobel diumumkan pada Oktober setiap tahun dengan majlis anugerah diadakan di Oslo pada Disember.

Tahun lepas, Hadiah Nobel Keamanan diberikan kepada Denis Mukwege kerana usahanya merawat mangsa perang dan Nadia Murad, bekas hamba seks Daesh kerana keberaniannya mendedahkan jenayah perang dilakukan terhadap masyarakat Kurdish di Syria. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen