LATHEEFA Koya beri jaminan akan hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam pada 4 Julai ini, kata pengerusinya William Leong.
Katanya, ketua agensi anti rasuah itu diminta hadir ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada Khamis namun menundakannya atas alasan ada urusan lain yang lebih mendesak.
Jawatankuasa pilihan khas itu memanggil Latheefa untuk menjelaskan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Latheefa menundakan pertemuan dengan PSC sebab jadualnya yang sibuk bukan kerana beliau masih belum bersedia untuk menjawab soalan PSC.
“Latheefa sendiri yang memberi jaminan kepada PSC untuk hadir pada 4 Julai ini,” kata Leong kepada The Malaysian Insight.
Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang mengulas perkembangan tindakan jawatankuasa yang beliau pengerusikan memanggil Latheefa susulan pelantikannya ke SPRM yang mencetuskan polemik.
Pada 13 Jun lalu, Leong berkata jawatankuasa itu mahu bertanya tiga perkara kepada Latheefa iaitu:
- bagaimana beliau akan menjalankan tugas dengan bebas tanpa pengaruh politik, kerana kedudukannya sebelum ini sebagai ahli PKR;
- bagaimana beliau akan menjalankan tugas tanpa latar belakang membanteras rasuah dan tiada pengalaman sebagai penyasat; dan
- apa visi, cadangan dan pendekatan beliau untuk meningkatkan kualiti SPRM dalam membanteras rasuah.
Tindakan jawatankuasa pilihan khas itu memanggil Latheefa sebelum ini dikritik oleh peguam yang menyifatkannya sebagai “lawak jenaka” dan dibuat tanpa mandat perundangan.
Leong bagaimanapun mempertahankan kuasa yang ada pada jawatankuasa itu.
“Itu pendapat orang lain tapi jawatankuasa ini mempunyai kuasa untuk panggil siapa saja untuk memberi penjelasan,” katanya.

Menurut terma rujukan jawatankuasa itu, ia ditubuhkan untuk meneliti pelantikan jawatan penting seperti pelantikan ke SPRM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia bagi memastikan ia dibuat berdasarkan merit.
Cadangan penubuhannya adalah selaras dengan janji Pakatan Harapan dalam manifesto menjelang pilihan raya umum yang lalu.
Latheefa dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.
Pelantikannya bagaimanapun dikritik termasuk dalam kalangan pemimpin PH kerana dianggap melanggar janji manifesto apabila tidak dirujuk kepada Parlimen, malah tidak dibawa kepada Jemaah Menteri.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahan pelantikan Latheefa yang katanya dibuat atas keputusannya sendiri, dan beliau tidak akan mengubah keputusannya itu.
Latheefa dilantik berkuat kuasa 1 Jun lalu dan memulakan tugas secara rasmi tiga hari kemudian. – 22 Jun, 2019.
Komen