KERAGUAN masih kuat dalam kalangan ahli biasa PAS di negeri Pantai Timur Kelantan dan Terengganu terhadap Umno walaupun rakan mereka di pantai Barat mula mengadakan program bersama.
Pemimpin akar umbi yang menerima pakatan dengan Umno tidak terkejut dengan persepsi parti Islam itu mengesahkan rasuah dan kesalahan yang dibuat parti Melayu itu.
Tuduhan berulang kali dilemparkan terhadap PAS oleh parti Pakatan Harapan seperti Amanah yang menuduh bekas rakan mereka itu tidak mengendahkan salah laku Umno dalam institusi Melayu seperti Tabung Haji dan Felda.
Apa yang penting, akar umbi PAS berkata, dua parti Melayu terbesar itu bergabung untuk menentang apa yang mereka lihat penghakisan institusi Islam di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
“Isu ini kita ketepikan. Kadang-kadang suara sumbang, benda yang tak terbukti, diwar-warkan sahaja, disebar luas media musuh kami supaya kami berpecah.
“Di kampung-kampung, antara Umno dan PAS tak bergaduh sangat cuma pilihan raya sahaja.
“Kami boleh duduk minum bersama. Mereka juga ada pertalian keluarga dengan kita.” kata Ramli kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada Muktamar PAS yang ke-65 di Kuantan.
Hassan Mohamed dari Negeri Sembilan pula yakin pendirian PAS untuk tidak bertoleransi dengan rasuah akan mewujudkan pandangan sebenar.
“Orang umno yang rasuah mesti dihukum. Itu adalah keputusan parti. Tak kira siapa. Tetapi stigma umno tidak akan terlekat pada PAS,” kata Hassan yang merupakan timbalan pengerusi PAS Kuala Pilah.

Isu penubuhan pakatan dengan Umno menjadi tumpuan utama muktamar yang mana parti Islam itu berharap ia akan menjadikan barisan pembangang yang kuat dalam menghadapi kerajaan Pakatan pada PRU15.
Pimpinan tertinggi PAS berharap dapat meyakinkan ahli parti untuk mengetepikan permusuhan dengan Umno dan menubuhkan pakatan berpusat di sekitar ideologi Islam yang konservatif.
Dewan Ulama PAS, yang menentukan hala tuju parti, secara rasminya menjalinkan ikatan dengan Umno.
Mereka merasakan gabungan undi kedua-dua parti itu daripada undi Melayu, yang terdiri daripada lebih 60% undi,akan membawa mereka ke Putrajaya.
Perasaan berbeza, kawasan berbeza
Tetapi di kubu kuat Terengganu dan Kelantan, masih wujud bantahan dalam diam terhadap idea itu.
“Bukan saja kita tak berapa terbuka pada Umno, mereka sendiri tak berapa terbuka pada kita kerana mereka rasa boleh ambil balik Terengganu dalam PRU15.
“Kalau mereka ada peluang, buat apa nak bersama kita?” kata pemimpin veteran PAS Terengganu yang enggan namanya disiarkan.
Umno kehilangan negeri Terengganu kepada PAS pada PRU14 namun negeri itu boleh kembali ke pentadbiran sebelum ini, kata aktivis berkenaan berikutan kemenangan tipis di banyak kerusi negeri.
“Terengganu sebenarnya 50-50. Dia boleh pergi balik pada Umno pasal orang dah biasa tukar kerajaan,” katanya merujuk kepada bagaimana tampuk pemerintahan negeri bertukar pada 1999 dan 2004
Sementara itu, pemimpin akar umbi di Kelantan pula menyatakan perasaan bercampur baur juga wujud di negeri tag ditadbir PAS sejak 1990.

“Masing-masing ahli di akar umbi, apa yang saya nampak ada pandangan sendiri. Biasanya orang PAS wala kepada pemimpin, biasanya begitu tapi sekarang ini masih ada yang tak berapa setuju,” katanya yang enggan dinamakan.
Namun berbeza di negeri pantai Barat. Di Melaka contohnya, pemimpin PAS dan Umno bersama mengadakan rumah terbuka Hari Raya, ceramah dan kelas agama.
“Fokus kita adalah dengan presiden (Abdul Hadi Awang). Kita perlu utamakan Melayu dan Islam,” kata Ramli dari Bukit Katil.
Di Johor, pemimpin PAS bahagian Mohamad Ash’ari Sidon berkata, hubungan antara PAS dan Umno sampai tahap beliau tidak dapat bezakan mereka pada program yang mereka adakan.
“Kalau dulu orang Umno pakai songkok, PAS pakai kopiah. Sekarang semua orang pakai kopiah. Orang Umno pun sama,” kata Ash’ari, yang merupakan ketua bahagian Sri Gading.
Daripada bimbang tentang rasuah Umno, Ash’ari berkata hubungan rapat antara anggota kedua-dua parti di Johor membolehkan beliau mengajar prinsip PAS kepada Umno.
“Ia satu peluang bagi saya untuk berdakwah pada orang Umno tentang dosa orang rasuah.”
Isran Fahmi Ismail dari Perak menyuarakan sentimen ini dengan mengatakan bahawa persepsi bahawa PAS mencemarkan namanya dengan bekerja dengan Umno tidak menjadi masalah.
“Ia satu-satunya pandangan, kita tidak mempunyai masalah dengannya,” kata ketua bahagian PAS Sungai Siput.– 22 Jun, 2019
Komen