POLIS China telah menyelamatkan lebih 1,100 wanita dari Asia Tenggara yang “dijual” sebagai isteri tahun lepas, kata pihak berkuasa hari ini.
Seramai 17 kanak-kanak juga diselamatkan dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama polis Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand antara Julai serta Disember, kata Kementerian Keselamatan Awam dalam satu kenyataan.
Lebih 1,300 suspek termasuk 260 warga asing ditahan dalam serbuan kerana dipercayai menculik dan menjual orang untuk tujuan penipuan perkahwinan.
Jurucakap kementerian Guo Lin berkata, beberapa tahun kebelakangan ini beberapa penjenayah domestik dan asing telah memikat wanita dari negara jiran untuk ke China dengan menjanjikan kerja atau perkahwinan serta menculik beberapa wanita untuk dijual sebagai isteri.
Didorong oleh kemiskinan, wanita muda dari rantau Mekong telah memperjudikan nasib atas tiket perkahwinan di China.
Dalam satu kes di provinsi Anhui China, polis menemui 11 wanita Vietnam yang mempunyai visa pelancong tamat tempoh tinggal di sebuah rumah milik “agensi perkahwinan”.
Agensi mengenakan bayaran 3,000 hingga 10,000 yuan ($450 hingga $10,500) untuk memperkenalkan seorang lelaki Cina kepada isteri warga Vietnam.
Polis berkata beberapa kes turut melibatkan agensi buruh palsu yang memikat wanita ke China dengan janji kerja tetapi menjualnya kepada “perkahwinan paksa”.
Kes yang paling teruk melibatkan penculikan dan pemerdagangan merentas sempadan negara. – AFP, 21 Jun, 2019.
Komen