Syarikat penerbangan Mexico tawar penerbangan US$1 untuk pemulangan imigran


SEBUAH syarikat penerbangan Mexcio menawarkan penerbangan satu dolar kepada imigran tanpa dokumen yang ingin kembali ke Costa Rica, El Salvador dan Guatemala.

Program Reuniting Families yang diumumkan oleh Volaris semalam bertujuan membantu dalam pemulangan imigran.

Tawaran itu berlangsung sehingga 30 Jun dan terbuka kepada warga Amerika Tengah dalam “situasi penghijrahan yang tidak tetap” yang ingin berlepas dari lapangan terbang di Tijuana dan Ciudad Juarez – kedua-duanya berhampiran dengan sempadan Amerika Syarikat atau Guadalajara dan Mexico City.

Lapangan Terbang Mexico City mengenakan bayaran penggunaan lapangan terbang sebanyak US$45 (RM187) untuk penerbangan antarabangsa.

Pendatang dewasa mesti mengenal pasti diri mereka dengan dokumen identiti yang unik dan anak-anak di bawah umur mesti menunjukkan pasport atau sijil kelahiran.

Gelombang imigran Amerika Tengah telah tiba di Mexico dalam beberapa bulan kebelakangan ini selepas pemerintah Andres Manuel Lopez Obrador yang memegang jawatan pada 1 Disember tahun lalu mengisytiharkan bahawa dia akan mempunyai dasar imigresen yang lebih fleksibel.

Bagaimanapun AS telah mencatatkan bilangan rekod kebanyakannya pendatang Amerika Tengah yang datang ke negara ini secara haram.

Berikutan ancaman oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas import Mexico, kedua-dua kerajaan mencapai persetujuan dan Mexico telah memperkuat pengawasan di sepanjang sempadan selatannya serta meningkatkan penangkapan dan pengusiran imigran.  – AFP, 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen