MENTERI Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai naib presiden PAS yang baru, selepas seorang penyandang Iskandar Abdul Samad menolak dicalonkan semula.
Dua lagi naib presiden kekal iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamad Amar Nik Abdullah dan bekas ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Mohd Fuad Mohd Salleh pada Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, Pahang hari ini.
Dengan keputusan itu, hanya jawatan bagi Jawatankuasa PAS Pusat untuk sesi 2019-2022 dipertandingkan.
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS juga tiada pertandingan dengan Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing kekal.
Menurut Mohd Fuad, Iskandar menolak pencalonannya bagi jawatan naib presiden PAS itu bulan lepas, sebelum pencalonan dimuktamadkan pada 12 Jun lalu.
“Iskandar layak tapi bila hantar surat pencalonan beliau menolak, bukan dia menarik diri,” katanya, kepada pemberita.
Sementara itu, Iskandar yang ditemui pemberita berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi membolehkan jawatan naib presiden PAS diisi mereka yang mempunyai kedudukan tinggi.
“Naib presiden kena ‘high profile’, sebagai menteri besar, Ahmad Samsuri ada ‘high profile’, Nik Amar timbalan menteri besar (Kelantan), Idris juga orang lama, kena ada individu ‘high profile’ dalam jawatan naib presiden,” katanya.
Iskandar bagaimanapun berkata, beliau hanya bersetuju menerima pencalonan untuk jawatankuasa PAS Pusat sahaja.
Pemilihan Pemuda PAS semalam menyaksikan Khairil Nizam Khiruddin terpilih sebagai Ketua Pemuda Pemuda PAS baru bagi sesi 2019 hingga 2021.
Khairil merupakan timbalan ketua pemuda PAS sesi sebelum ini memenangi jawatan itu tanpa bertanding selepas Khalil Abd Hadi memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya.
Ahmad Fadhli Shaari dipilih sebagai timbalan ketua pemuda PAS, manakala Afnan Hamimi Taib Azamudden pula dipilih sebagai naib ketua pemuda PAS bagi sesi tersebut. Kedua-duanya turut memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Bagi sayap Ulama, Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh, dinamakan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS menggantikan Mahfodz Mohamed.
Nik Muhammad Zawawi merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulama sebelum ini, memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Dua lagi jawatan teratas Dewan Ulama turut dimenangi tanpa bertanding iaitu Timbalan Ketua Dewan Ulama, Johari Mat dan Naib Ketua, Khirul Muntanazar Ismail. – 21 Jun, 2019
Komen