Kemiskinan punca radang otak serang kanak-kanak India, kata pakar


Ada banyak faktor yang dikatakan menjadi penyebab kepada kematian hampir 120 kanak-kanak di timur India bulan ini tetapi pakar kesiahatan menekankan ia berpunca dari tahap penjagaan ksihatan yang teruk dan kemiskinan. – Gambar AFP, 21 Jun, 2019.

DARI buah laici hingga ke cuaca panas, ada banyak faktor yang dikatakan menjadi penyebab kepada kematian hampir 120 kanak-kanak di timur India bulan ini.

Namun hanya dua sebab utama kematian mereka: kemiskinan dan pentadbiran yang sangat lemah.

Seperti di kampung Hichara di Bihar di mana wabak masih menyerang, penduduk kampung di situ tiada tandas, bekalan air dan gas memasak.

Kanak-kanak tidak berbaju dan berhingus bermain dalam keadaan cuaca panas dengan suhu mencecah sehingga 45 darjah Celcius. Kampung itu mempunyai bekalan elektrik, tetapi tiada kipas di rumah penduduk, jauh sekali penghawa dingin.

“Kami tiada bekalan air bersih untuk dibuat minum. Kami ambil dari paip di kampung berdekatan. Beli makanan berkhasiat pun kami tak mampu,” kata Shakeela Khatoon, 36, seorang ibu anak tiga.

“Kerajaan tak pedulikan kami. Mereka cuma datang bila hendakkan undi. Selepas itu, kami dilupakan.”

Kematian di Bihar itu dipercayai berpunca daripada wabak Sindrom Encephalitis Akut (AES) iaitu penyakit neurologi yang melibatkan radang otak yang menyerang kanak-kanak berusia bawah 10 tahun.

Buah laici yang merimbun di ladang-ladang di daerah Muzaffarpur menjadi kesukaan kanak-kanak yang kelaparan.

“Yang jadi masalah ialah buah yang belum masak,” kata Arun Shah, seorang pakar pediatrik yang mengkaji fenomena ini.

“Buah yang belum masak mengandungi racun dan jika dimakan oleh kanak-kanak yang kurang mendapat zat makanan, ia akan menurunkan paras glukosa yang akan menjejaskan otak.”

Meskipun laici dikatakan menjadi punca, pakar masih berpendapat kejadian mungkin dapat dielakkan jika penduduk di Bihar diberi penjagaan kesihatan yang lebih baik.

India berada di tempat ke-103 daripada 109 negara dalam Global Hunger Index tahun lepas. India antara negara yang memperuntukkan sedikit perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan iaitu sebanyak 1% daripada pendapatan negara.

Menurut kajian kesihatan yang dijalankan di India, hampir separuh daripada kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Muzaffarpur mengalami masalah bantut, hampir 60% mengalami anemia manakala 40% kekurangan berat badan.

Tinjauan kementerian kesihatan pula mendapati tiada pusat pusat kesihatan di Muzaffarpur. Yang ada hanyalah klinik kesihatan kecil yang harus diberi perhatian, lapor Times of India.

Menurut Hindustan Times, seramai 1,350 kanak-kanak mati akibat AES di Bihar sepanjang sedekad yang lalu, termasuk 355 pada 2014. – AFP, 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen