JABATAN Pembangunan Masyarakat Abu Dhabi sedang menyediakan kerangka undang-undang bagi menyelaras dan mengeluarkan lesen untuk semua tempat ibadat di bandar raya itu tanpa menjejaskan adat serta tradisi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Semasa taklimat media pada Khamis, jabatan itu menyatakan pihaknya sedang dalam proses mengeluarkan lesen untuk 19 tempat ibadat di Abu Dhabi dan beberapa institusi keagamaan yang telah wujud lebih 30 tahun di negara itu, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).
Pengarah Eksekutif Penyertaan Masyarakat, Sultan Al Dhaheri berkata, berdasarkan Undang-Undang No.12 (2018) dan Resolusi No. 61 (2019) mengenai Peraturan-Peraturan Eksekutif untuk Menyelenggara Tempat Ibadah di UAE - Jabatan Pembangunan Masyarakat adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk tempat ibadat.
Al Dhaheri berkata jika entiti awam atau swasta berhasrat menubuhkan tempat ibadat baharu atau menyediakan perkhidmatan yang berkaitan, perlu menghubungi pihak jabatan terlebih dahulu.
Katanya, UAE telah melabur bagi menyediakan tempat ibadat untuk semua agama, yang akan memainkan peranan penting mempromosikan kebersamaan di kalangan pelbagai masyarakat. – Bernama, 21 Jun, 2019
Komen