PAS parti tenang, tiada pergolakan, tiada video, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika tiba di Muktamar PAS kali ke-65yang diadakan di Dewan SUKPA Pahang, di Kuantan, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Jun, 2019

PAS sebuah parti politik yang tenang tanpa sebarang pergolakan, kata Presiden Abdul Hadi Awang, berbanding parti politik lain di Malaysia.

Katanya, ketenangan dalam parti Islam itulah yang menyebabkan tidak berlaku pertandingan dalam banyak jawatan tertinggi parti pada muktamar tahunan kali ini.

Abdul Hadi mengulas pemilihan sayap Pemuda dan Ulama PAS yang berakhir semalam yang dimenangi banyak calon tanpa bertanding.

“Itu tanda ketenangan dalam PAS… (bukti) PAS tidak bergolak,” kata Abdul Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS kali ke-65 di Kuantan, hari ini.

Menyindir skandal seks yang dikaitkan dengan pemimpin tinggi PKR yang tersebar baru-baru ini, Hadi juga berkata: “Tidak ada aktiviti video dalam PAS.”

Pemilihan Pemuda PAS semalam menyaksikan Khairil Nizam Khiruddin terpilih sebagai Ketua Pemuda Pemuda PAS baru bagi sesi 2019 hingga 2021.

Khairil merupakan timbalan ketua pemuda PAS sesi sebelum ini memenangi jawatan itu tanpa bertanding selepas Khalil Abd Hadi memutuskan untuk tidak  mempertahankan jawatannya.

Ahmad Fadhli Shaari dipilih sebagai timbalan ketua pemuda PAS, manakala Afnan Hamimi Taib Azamudden pula dipilih sebagai naib ketua pemuda PAS bagi sesi tersebut. Kedua-duanya turut memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Bagi sayap Ulama, Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh, dinamakan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS menggantikan Mahfodz Mohamed.

Nik Muhammad Zawawi merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulama sebelum ini, memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Dua lagi jawatan teratas Dewan Ulama turut dimenangi tanpa bertanding iaitu Timbalan Ketua Dewan Ulama, Johari Mat dan Naib Ketua, Khirul Muntanazar Ismail. – 21 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen