KENYATAN terbaru bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan rancangan Malaysia Airlines Bhd (MAS) mengenai strategi penerbangan syarikat itu tidak tepat, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS Peter Bellew.
“Saya sudah baca semuanya dalam blog, ada juga yang dilaporkan kepada saya. Banyak yang tidak tepat, dan tiada sesiapa yang menghubungi saya atau syarikat untuk menyemak (mengesahkan) semua yang dikatakan itu.
“Saya percaya yang asasnya adalah ada orang kata kami tak beli pesawat dan perkara lain juga. Kami memang merancang untuk memuktamadkan urus niaga membeli pesawat itu terus daripada Boeing,” katanya pada satu pertemuan media di Akademi MAS, Kelana Jaya.
Katanya, beliau sangat menghormati apa yang pernah dilakukan bekas perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat itu, tetapi, Dr Mahathir tidak mengesahkan apa yang ditulis dalam blognya.
“Kami sentiasa mahu telus dengan sesiapa sahaja di Malaysia,” katanya.
Isnin lalu, Dr Mahathir mempersoalkan pengumuman kerajaan tentang urus niaga pembelian pesawat Boeing itu, mengatakan yang MAS sebelum ini mengumumkan mahu membeli pesawat daripada Airbus.
“Adakah MAS akan beli Airbus A350-900 atau Boeing 787 Dreamliner atau kedua-duanya? Adakah keputusan membeli 58 Boeing dibuat MAS, atau ia keputusan peribadi Najib (Razak) sebagai habuan peluang bergambar dengan Trump?” katanya.
Pada pertemuan media hari ini mengenai pelan penstrukturan syarikat itu, Bellew berkata syarikat penerbangan negara itu sudah berunding dengan Airbus mengenai A33NEO dan Boeing 787.
“Sentiasa ada hasrat itu. Hari ini kami buat sesuatu yang lain pula. Kami ada peluang baik untuk sewa pesawat yang baik dengan harga yang baik,” katanya.
Sebelum itu, beliau mengumumkan rancangan MAS untuk menyewa enam pesawat terpakai Airbus A330-200 sebagai ganti kepada enam pesawat Beoing 737 yang sudah dikembalikan kepada pemajaknya.
Pesawat A30-200 dijangka tiba bermula pada Febuari 2018.
Bellew berkata Surat Hasrat (LOI) dengan pemajak pesawat, AerCap ditandatangani hari ini.
“Tiada pembiayaan baru diperlukan, hanya perbelanjaan harian, kami hentikan (khidmat) pesawat (lama) dan kami ambil pesawat baru yang lain, kami tukar jenis pesawat.
“Kos sepatutnya turun dan tidak naik, itu pendekatan kami, tiada pembiayaan tambahan diperlukan untuk buat ini,” katanya.
Menurut LOI, pesawat jenis A330-200s akan disewa selama enam tahun daripada 2018 hingga 2023 dan akan digunakan untuk beberapa laluan yang menerima permintaan tinggi.
Enam pesawat itu akan mempunyai dua jenis kelas, 287 kerusi dengan 19 kerusi boleh lunjur Kelas Perniagaan, IFE baru di semua kerusi dan Wifi.
Tambahnya, sewaan enam pesawat besar itu akan meningkatkan saiz keseluruhan penerbangan. Malaysia Airlines kini mempunyai enam A380s, 15 A330-300s dan 48 737-900s. – 27 September, 2017.
Komen