Pesawat AS dilarang lalu ruang udara Iran


Arahan dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat itu meliputi ruang udara di sekitar Selat Hormuz dan Teluk Oman, dikeluarkan beberapa jam selepas sebuah pesawat dron AS ditembak tentera Iran di Selat Hormuz. – Gambar EPA, 21 Jun, 2019.

PENTADBIRAN Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengeluarkan arahan kecemasan melarang pengendali syarikat penerbangan negara itu melalui ruang udara Iran, lapor agensi berita Anadolu. 

Arahan itu meliputi ruang udara di sekitar Selat Hormuz dan Teluk Oman, dikeluarkan beberapa jam selepas sebuah pesawat dron AS ditembak tentera Iran di Selat Hormuz.

Tehran mendakwa dron terbabit menceroboh ruang udaranya, sebaliknya Washington tegas mengatakan dron itu berada di ruang udara antarabangsa.

“Terdapat banyak pesawat penerbangan awam beroperasi di kawasan itu pada masa kejadian,” kata FAA memetik laporan Reuters.

FAA turut menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti ketenteraan berhampiran laluan pesawat awam dan tindakan Tehran menggunakan peluru berpandunya di ruang udara antarabangsa.

Presiden Donald Trump dilaporkan berkata, beliau akan meneliti perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan, sama ada Washington akan menyerang balas ke atas Tehran atau sebaliknya. – Bernama, 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen