DUA keluarga pelarian dialu-alukan kedatangan mereka ke Christchurch, New Zealand pada Jumaat apabila bandar itu meneruskan “tradisinya yang membanggakan dengan menawarkan permulaan baharu kepada keluarga yang terpaksa melarikan diri dari tanah air mereka,” lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Majlis Bandaraya.
Beberapa keluarga dari Eritrea dan Afghanistan kini ditempatkan di Christchurch di bawah Program Petempatan Semula Pelarian, yang disertai semula oleh Christchurch pada tahun lalu selepas terhenti selama lapan tahun akibat bencana gempa bumi.
Mereka menyertai 22 pelarian lain dari Eritrea dan Afghanistan yang tiba di Christchurch pada Mac. Lebih ramai pelarian dijangka tiba ke negara itu sepanjang tahun ini, menurut kenyataan itu.
Christchurch, bandar terbesar di Pulau Selatan New Zealand, akan menerima kira-kira 120 pelarian setiap tahun menerusi Program Petempatan Semula Pelarian, kata Datuk Bandar Lianne Dalziel sambil menambah bahawa bandar itu sedia menerima lebih ramai pelarian.
“Kedua-dua keluarga yang tiba hari ini datang daripada komuniti yang sudah wujud di sini, jadi mereka akan mendapat banyak sokongan ketika memulakan kehidupan baharu namun saya berharap seluruh bandar akan berada di belakang mereka,” kata datuk bandar itu.
“Kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua orang berasa kehadiran mereka dialu-alukan dan menjadi sebahagian daripada bandar kita yang memiliki kepelbagaian tanpa mengira etnik, agama atau dari mana asal mereka,” katanya.
“Sebagai sebuah bandar, kami mahu orang ramai dari pelbagai latar belakang terlibat secara aktif dalam semua aspek yang kami lakukan,” kata beliau. – Bernama, 21 Jun, 2019.
Komen