UMNO akan membuktikan di mahkamah bahawa parti itu berhak ke atas dana yang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata pemangku presiden, Mohamad Hasan.
Mohamad berkata SPRM hanya mengikut prosedur membeku dan melucut hak mana-mana dana sebagai sebahagian daripada siasatan. Sementara Umno katanya, akan bertindak balas mengikut saluran undang-undang sepatutnya.
Menurut beliau, Umno telah menulis surat kepada SPRM ketika agensi anti rasuah menyita dana parti itu tahun lepas sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MBD).
Agensi anti rasuah di enam negara menganggarkan lebih daripada AS$4 bilion (RM16.6 billion) dana 1MDB diseleweng ketika bekas perdana menteri Najib Razak mengetuai lembaga penasihat.
“Mereka (SPRM) cuma jalankan tugas, dan kita (Umno) akan lakukan kerja kita. Cukup setahun, mahkamah akan tentukan. Kedua-dua pihak akan kemukakan hujah masing-masing kemudian terpulang kepada mahkamah untuk dengar dan buat keputusan,” kata Mohamd kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hari ini mendedahkan agensi anti rasuah itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula RM270 juta yang dikaitkan dengan skandal 1MDB daripada 41 individu, pertubuhan dan syarikat.
Wang itu adalah daripada akaun bank Najib, kata Latheefa. – 21 Jun, 2019.
Komen